Dari Abu Dhabi ke Imola: A2RL Perluas Kehadiran Antarabangsa dengan Penampilan Sulung Bersejarah Perlumbaan Autonomi di Litar Ikonik Itali

Released on: Tuesday, 30 Jun 2026 10:36AM

Table
Dari Abu Dhabi ke Imola: A2RL Perluas Kehadiran Antarabangsa dengan Penampilan Sulung Bersejarah Perlumbaan Autonomi di Litar Ikonik Itali (Foto: AETOSWire)
 
Perlumbaan antarabangsa pertama A2RL menandakan langkah besar ke arah aspirasinya untuk menjadi kejohanan antarabangsa pertama dunia bagi kereta lumba autonomi sepenuhnya

Sehingga lima pasukan termasuk TUM, PoliMOVE, Unimore, Kinetiz dan Constructor yang dipilih daripada musim 2025 akan bersaing dalam perlumbaan autonomi berbilang kereta pertama dunia di Eropah

A2RL melibatkan komuniti sukan permotoran, kejuruteraan dan pelajar Itali menerusi Motor Valley Fest serta jelajah universiti menjelang perlumbaan tersebut

Selepas penampilan sulungnya di Eropah di Imola, musim 2026 akan berakhir di Yas Marina Circuit, Abu Dhabi
 
IMOLA, Itali, 30 Jun (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Abu Dhabi Autonomous Racing League, A2RL, akan membuat penampilan sulung dalam perlumbaan antarabangsa pada 5 September 2026 di Imola, Itali, dengan membawa sehingga lima kereta lumba autonomi sepenuhnya berasaskan Dallara Super Formula SF23 ke salah satu litar perlumbaan paling ikonik dan mencabar di dunia.

Dianjurkan oleh ASPIRE, entiti yang menerajui cabaran berskala besar di bawah Majlis Penyelidikan Teknologi Termaju Abu Dhabi, A2RL telah berkembang pesat daripada medan ujian awam yang berani bagi AI dalam keadaan perlumbaan ekstrem kepada siri perlumbaan kompetitif. Perlumbaan Imola yang akan datang menandakan langkah besar dalam peluasan globalnya, susulan dua musim yang mencatat kejayaan besar di Yas Marina Circuit, Abu Dhabi, sekali gus membuka lembaran antarabangsa pertama kejohanan tersebut sebelum ia kembali ke ibu negara UAE bagi perlumbaan penutup musim 2026.

Juara bertahan A2RL, TUM (Jerman), akan bersaing bersama Unimore Racing (Itali) dan PoliMOVE (Itali) di Imola selepas melayakkan diri berdasarkan prestasi masing-masing pada musim 2025. Dua lagi pasukan, Kinetiz (UAE) dan Constructor Racing (Jerman), akan bersaing dalam acara kelayakan menjelang hujung minggu perlumbaan bagi merebut baki petak di grid permulaan.

T.Y.T. Faisal Al Bannai, Setiausaha Agung Majlis Penyelidikan Teknologi Termaju, berkata: “A2RL bermula di Abu Dhabi dengan satu keyakinan yang jelas: masa depan mobiliti perlu diuji secara terbuka, teliti dan pada had prestasi. Penampilan sulung antarabangsanya di Imola menunjukkan cara UAE menterjemahkan cita-cita R&D yang berani kepada platform teknologi bertaraf global yang mampu mempercepat kemajuan dalam mobiliti autonomi.”

Stephane Timpano, Ketua Pegawai Eksekutif ASPIRE, berkata: “Membawa A2RL ke Imola merupakan pencapaian penting dalam aspirasi kami untuk membangunkan kejohanan antarabangsa pertama dunia bagi kereta lumba autonomi sepenuhnya. Hanya segelintir litar memiliki warisan dan kedudukan global setanding Imola, menjadikannya pentas yang berpengaruh bagi perlumbaan antarabangsa pertama kami. Ini merupakan langkah penting bagi sukan permotoran autonomi, sebagai platform teknologi dan juga format sukan global yang sedang berkembang.”

Berlandaskan dua musim yang mencatat kejayaan besar di Abu Dhabi, A2RL telah berkembang daripada perlumbaan autonomi empat kereta pertama seumpamanya di dunia kepada Grand Final enam kereta yang menampilkan perlumbaan roda ke roda pada kelajuan melebihi 250 km/j. Liga itu turut menjadi platform utama bagi pertandingan Manusia lawan AI, dengan jurang prestasi antara sistem autonomi dan pemandu profesional mengecil secara ketara daripada 10 saat pada tahun 2024 kepada hanya 1.58 saat pada tahun 2025. Seiring kemajuan di litar, A2RL juga telah membina audiens global yang semakin berkembang dan memperkukuh kedudukan Abu Dhabi sebagai hab terkemuka bagi mobiliti autonomi serta inovasi AI.

Imola: Ujian Sebenar terhadap Keupayaan Perlumbaan Autonomi

Litar Imola, yang menjadi tuan rumah European Le Mans Series, terkenal dengan cabaran perubahan aras, garisan perlumbaan yang sempit dengan kawasan keluar litar yang terhad serta zon memotong yang sukar. Selekoh teknikal dan ruang kesilapan yang kecil akan menguji cara sistem autonomi mengurus cengkaman, trafik perlumbaan, kedudukan dan aksi memotong di bawah tekanan berterusan. Bagi pasukan yang bertanding, acara itu menawarkan persekitaran persaingan yang amat mencabar, dengan prestasi bergantung pada ketepatan perisian, integrasi sensor, strategi kejuruteraan dan pembuatan keputusan autonomi secara masa nyata.

Alessandro Tucci, Pengarah Eksekutif House of Grand Challenges di ASPIRE, berkata: “Imola ialah medan ujian yang sempurna untuk pasukan terbaik A2RL mempamerkan keupayaan perlumbaan mereka di litar yang amat mencabar. Imola tidak memberi ruang untuk sebarang kompromi. Litar ini memberikan ganjaran kepada ketepatan, kawalan dan keberanian, menjadikannya litar yang tepat untuk perlumbaan autonomi menunjukkan keupayaannya di bawah tekanan sebenar. Setiap kereta di litar membawa hasil kerja jurutera dan pengatur cara yang membawa AI daripada simulasi kepada persaingan sebenar.”

Daripada Sim Sprint ke Litar

Sebelum menjalani ujian di Litar Imola pada Ogos, pasukan akan membuat persediaan melalui ekosistem perlumbaan maya A2RL, dengan siri Sim Sprint berlangsung dari 19 Mei hingga 17 Julai menggunakan kembar digital berketepatan tinggi bagi Yas Marina, A2RL Autodrome, Suzuka dan Imola, sebelum berakhir di Yas Marina North Circuit, lokasi Grand Final A2RL. Pada musim sebelumnya, Sim Sprint merekodkan lebih 5,000 jam keseluruhan ujian simulasi dan perlumbaan melibatkan 11 pasukan. Platform itu menyediakan persekitaran terkawal kepada pasukan untuk membangunkan dan mengesahkan algoritma mereka sebelum menyertai pertandingan autonomi dunia sebenar. Sepanjang siri tersebut, pasukan akan menghadapi perlumbaan berbilang kereta, aksi memotong, senario tindak balas insiden dan situasi luar jangka yang sukar ditiru dengan selamat di litar. Dengan memberikan lebih banyak pengalaman perlumbaan kompetitif kepada pasukan sebelum Imola, Sim Sprint membantu menyediakan sistem AI untuk menghadapi kelajuan, tekanan dan ketidakjangkaan perlumbaan autonomi secara langsung.

Melibatkan Ekosistem Sukan Permotoran dan Kejuruteraan Itali

Menjelang perlumbaan itu, A2RL melibatkan komuniti sukan permotoran, kejuruteraan dan akademik Itali menerusi Motor Valley Fest serta beberapa siri jelajah universiti. Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, barisan eksekutif A2RL menyertai program Motor Valley Fest, acara berpangkalan di Modena yang meraikan industri automotif Emilia-Romagna, dengan sebuah kereta A2RL Super Formula dipamerkan di reruai Imola. Jelajah itu meliputi University of Bologna, University of Modena and Reggio Emilia serta Politecnico di Milano, dengan memperkenalkan kepada pelajar teknologi A2RL, peranannya sebagai medan ujian AI berkelajuan tinggi dan laluan masa depan untuk pasukan, jurutera serta pengatur cara menyertai siri tersebut. Inisiatif ini mencerminkan misi A2RL yang lebih luas untuk menghubungkan penyelidikan AI termaju dengan generasi bakat seterusnya.

Selepas Imola, A2RL akan kembali ke Yas Marina Circuit, membawa semula siri itu ke ibu negara UAE, tempat perlumbaan autonomi berintensiti tinggi beralih daripada konsep kepada realiti kompetitif. Acara Abu Dhabi akan menutup musim 2026, melengkapkan perjalanan kejohanan itu dari tempat kelahirannya ke perlumbaan antarabangsa pertama, sebelum kembali semula. Sebagai lokasi A2RL sejak pelancarannya pada 2024, Yas Marina Circuit kekal sebagai lokasi penanda aras bagi evolusi dan pertumbuhan berterusan liga tersebut.

Siri 2026 dapat direalisasikan dengan sokongan SteerAI, bersama rakan kongsi utama AD Ports dan du Infra; rakan kongsi rasmi AWS, Abu Dhabi Mobility dan Abu Dhabi Gaming; penyokong rasmi HP dan Castore; serta rakan kongsi teknikal PACETEQ dan Live in Five.

*Sumber: AETOSWire
 
Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20260629726789/en
 
Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Butiran Hubungan
Thushara Mohanan,
thushara.mohanan@tii.ae 
 
SUMBER: Abu Dhabi Autonomous Racing League

--BERNAMA 
Back to Home