KENYATAAN MEDIA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) BERKENAAN MENYAMBUT BAIK CADANGAN PEMBINAAN MASJID WARISAN DI TRX

Released on: Wednesday, 24 Jun 2026 2:25PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyambut baik pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, berhubung cadangan pembinaan Masjid Warisan di kawasan Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

Dari sudut perundangan, cadangan pembinaan Masjid Warisan adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang sama, Perlembagaan turut menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan damai.

IKIM menegaskan bahawa sebarang pembangunan rumah ibadat hendaklah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta proses yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, termasuk aspek perancangan bandar, penggunaan tanah, keselamatan awam, kelestarian dan kepentingan masyarakat setempat. Pematuhan kepada kerangka perundangan dan prosedur yang berkuat kuasa merupakan manifestasi prinsip tadbir urus yang baik.

Masjid bukan sekadar tempat ibadah tetapi sebagai institusi ilmu, pembinaan akhlak dan penyatuan masyarakat. Kehadirannya di TRX berpotensi melambangkan keseimbangan antara pembangunan material dan rohani dalam pembangunan negara.

Sehubungan itu, IKIM berharap agar projek ini dilaksanakan secara telus, berhemah dan bertanggungjawab. Semua pihak diseru agar membincangkan isu ini secara matang, berfakta serta menghormati proses undang-undang dan semangat Perlembagaan Persekutuan demi memelihara keharmonian negara. IKIM menyokong pembinaan Masjid Warisan di TRX sebagai pelengkap kepada pembangunan bandar moden yang beradab, bertamadun dan seimbang serta berpaksikan nilai.

Sekian, terima kasih.

Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

24 Jun 2026 | 8 Muharam 1448H                                                   
 
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel : 019-388 7600
E-mel: fairuz@ikim.gov.my

Nama: Haji Mohd Faiz bin Othman
Tel: 012-2105658
E-mel: faiz@ikim.gov.my

--BERNAMA
Back to Home