PENERIMA STR BSN RAIH GANJARAN SUPERMARKET SWEEP

Released on: Thursday, 11 Jun 2026 4:38PM

Table
Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Encik Mujibburrahman Abd Rashid (tiga dari kanan) bersama Ketua Jabatan Pengurusan Cawangan, Deposit, Pembayaran & Rangkuman Kewangan BSN, Puan Noreidayu Harun (paling kiri) serta Encik Amran Abdul Latif, Pengurus Kanan Mall Operations - Central Region AEON Malaysia (paling kanan) bersama tiga pemenang Kempen Gabungan BSN SSP & BSN GIRO-i 2025 yang diraikan dengan ganjaran ‘Supermarket Sweep’ bertempat di AEON Mall Cheras Selatan.


KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) terus memperkukuhkan komitmennya dalam memupuk budaya menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan meraikan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menyimpan secara konsisten menerusi Kempen Gabungan BSN SSP dengan BSN GIRO-i 2025. Tiga pemenang hadiah utama kempen ini telah menerima ganjaran Supermarket Sweep bernilai sehingga RM5,000 setiap seorang.

Kempen yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Disember 2025 ini diperkenalkan bagi menggalakkan penerima STR membudayakan amalan menabung dengan menyalurkan sebahagian daripada bantuan yang diterima ke dalam BSN SSP. Menerusi simpanan minimum RM50 sebulan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan sepanjang tempoh kempen, inisiatif ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang lebih teratur ke arah daya tahan kewangan jangka panjang yang lebih utuh.

Sebagai kemuncak kempen, tiga pemenang utama yang terdiri daripada dua pelanggan dari Perak dan seorang pelanggan dari Kuala Lumpur diraikan di AEON Mall Cheras Selatan menerusi ganjaran Supermarket Sweep di mana setiap pemenang diberi masa lima minit untuk memilih barangan runcit pilihan mereka. Selain itu, seramai 200 pelanggan STR BSN turut memenangi pelbagai hadiah menarik lain menerusi empat kategori di bawah kempen ini.

“Kempen ini mencerminkan komitmen berterusan BSN dalam memupuk budaya menabung serta meningkatkan keterangkuman kewangan, khususnya dalam kalangan komuniti yang menerima manfaat daripada inisiatif bantuan Kerajaan.

“Kami berharap lebih ramai penerima STR terdorong untuk menjadikan simpanan sebagai sebahagian amalan pengurusan kewangan harian mereka. Walaupun bermula dengan jumlah yang kecil, simpanan yang dilakukan secara berterusan mampu membantu membina kedudukan kewangan yang lebih terjamin pada masa hadapan,” kata Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Encik Mujibburrahman Abd Rashid.

Beliau menambah, sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan negara, BSN akan terus memperkenalkan inisiatif yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelanggan, malah menggalakkan perancangan kewangan yang lebih bijak ke arah kesejahteraan kewangan yang mampan.

BSN SSP merupakan produk simpanan patuh syariah yang direka bagi menyediakan platform simpanan yang selamat, mudah dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bsn.com.my

Sumber: Bank Simpanan Nasional (BSN)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Bahagian Hal Ehwal Korporat
Jabatan Komunikasi Strategik, BSN

Nama: Noorzuriaty Mohd Yazit
Tel: +6012 207 1134
E-mel: noorzuriaty@bsn.com.my

Nama: Syarifah Syameen Syed Johari
Tel: +6012 310 1766
E-mel: syameen@bsn.com.my

Nama: Awaina Arbee
Tel:+6019 904 6139
E-mel: awainaarbee@bsn.com.my

Nama: Hazwan Mokhtar
Tel: +6017 676 2239
E-mel: hazwanmokhtar@bsn.com.my

--BERNAMA
Back to Home