TEMASYA BUDAYA TERENGGANU PAPARKAN KEUNIKAN SENI BUDAYA, SEMARAKKAN KEMPEN MELAWAT MALAYSIA 2026

Released on: Tuesday, 09 Jun 2026 4:48PM

Table
YB Datuk Razali bin Idris bersama YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot merakamkan gambar kenangan bersama 194 peserta yang menjayakan Persembahan Gala sempena Majlis Perasmian Temasya Budaya Terengganu 2026

KUALA TERENGGANU, 9 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menganjurkan Temasya Budaya Terengganu 2026.

Festival yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun 2026 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Razali bin Idris, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang mewakili YAB Menteri Besar Terengganu. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC, yang mewakili YB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Hadir sama YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC dan YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN.

Program ini merupakan penjenamaan semula daripada “Temasya Tranung Kite” (TEGAK) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2024. Inisiatif ini bertujuan memperkasakan seni dan budaya negeri sebagai produk pelancongan utama, selaras dengan sambutan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta persediaan ke arah Tahun Melawat Terengganu 2027.

Penganjuran program ini juga dilihat mampu memperkukuh pemeliharaan warisan, memupuk perpaduan komuniti pelbagai generasi, selain mengetengahkan inovasi seni yang patuh syariah.
 
Berkonsepkan “Penyatuan Irama Warisan dan Kontemporari”, para penonton disajikan persembahan khas yang menampilkan keunikan seni budaya negeri Terengganu yang kaya dengan warisan, adat resam dan seni tradisional yang dijayakan oleh seramai 194 peserta. Antara tarikan utama program ini ialah persembahan Tarian Ulek Mayang dan Tarian Gamelan Timang Burung oleh penari cilik, tarian dan nyanyian lagu-lagu rakyat Terengganu, Gayong Ota-ota yang telah diiringi oleh Orkestra Tradisional Terengganu (OTT) seramai 46 pemuzik.
 
Sepanjang tiga (3) hari program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk Pertandingan Kisah Nabi Kanak-kanak, Persembahan Rodat, Pertandingan Sukan Rakyat, demonstrasi pembuatan makanan tradisional, Kejohanan Gasing Tradisional, pertunjukan wau, jualan produk tempatan, pusat perkhidmatan masyarakat bergerak serta Larian Malaysia Breakfast Day, di samping pelbagai pengisian menarik yang lain. Program ini turut mendapat sokongan daripada 80 rakan strategik dan penaja.
 
“MOTAC amat menghargai keterbukaan dan komitmen Kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan kelangsungan warisan seni dilaksanakan melalui pendekatan apresiasi yang harmoni. Usaha ini adalah selaras dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang berteraskan pematuhan syariah. Kerjasama berasaskan nilai hormat terhadap acuan tempatan ini jelas membuktikan bahawa industri seni dan budaya mampu berkembang dalam kerangka nilai yang murni dan beretika,” kata YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC.
 
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN iaitu mysenibudaya melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya

Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel : 03-2614 8200  Faks : 03-2697 0786
Website: www.jkkn.gov.my  E-mel: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & You Tube: @mysenibudaya  

SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Naurah Daria binti Janiur
Pengarah
Unit Komunikasi Korporat, JKKN
Tel: 03-2614 8200
Emel: doria@jkkn.gov.my

Nama: Muhammad Zahiruddin bin Dzolkipli
Penolong Pegawai Penerangan
Unit Komunikasi Korporat, JKKN
Tel: 03-2614 8200
Emel: zahiruddin@jkkn.gov.my

--BERNAMA 
Back to Home