MBI SELANGOR DAN FARMEREX SDN BHD METERAI KERJASAMA PEMBANGUNAN AKUAKULTUR DI ZON INDUSTRI PERIKANAN SUNGAI LANG (ZIPS)

Released on: Friday, 22 May 2026 4:49PM

Table
Pertukaran dokumen perjanjian antara MBI Selangor (diwakili oleh Puan Zannifa Azura Ahmad) dan Farmerex Sdn. Bhd. (diwakili oleh Tuan Teoh Han Boon), disaksikan oleh YB Dato’ Haji Rizam bin Haji Ismail (tengah).

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (“MBI Selangor”) memeterai kerjasama strategik bersama Farmerex Sdn Bhd menerusi pertukaran dua dokumen perjanjian bagi pembangunan projek penternakan akuakultur komersial di Zon Industri Perikanan Sungai Lang (“ZIPS”), Sabak Bernam pada 21 Mei 2026. 

Majlis pertukaran dokumen yang berlangsung di Kuala Lumpur itu melibatkan Perjanjian Sewaan tanah seluas 50 ekar bagi tujuan penternakan akuakultur serta Perjanjian Usahasama pembangunan ladang penternakan akuakultur komersial. MBI Selangor diwakili oleh Ketua Zon Pembangunan Sabak Bernam, Puan Zannifa Azura Ahmad, manakala Farmerex Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Tuan Teoh Han Boon. Majlis tersebut turut disaksikan oleh YB. Dato’ Haji Rizam bin Haji Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Sabak Bernam. 

Farmerex Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Camaroe Berhad, sebuah syarikat awam yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dan mempunyai pengalaman luas dalam industri akuakultur serta pemprosesan hasil perikanan. 

Kerjasama strategik ini menandakan langkah penting dalam pembangunan industri akuakultur moden di ZIPS dengan fokus utama kepada perancangan pembangunan penternakan udang secara komersial berteknologi tinggi. Projek ini juga bakal menjadi operasi pertama yang dimulakan di kawasan ZIPS sejak ia dirasmikan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor pada 25 April 2026. 

Sebagai antara projek pemangkin utama di bawah Sabak Bernam Development Area (SABDA), pembangunan ZIPS sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuh agenda keterjaminan makanan, memperkasa ekonomi biru serta merancakkan pembangunan luar bandar secara mampan dan inklusif.

ZIPS dirancang sebagai hab industri perikanan bersepadu yang merangkumi aktiviti penternakan akuakultur, pemprosesan hasil laut, logistik rantaian sejuk serta pembangunan industri hiliran bernilai tambah. Pembangunan ini dijangka memperkukuh ekosistem industri perikanan negeri di samping meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan laut tempatan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport. Selain menyokong agenda nasional dalam aspek keterjaminan makanan, projek ini turut dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat melalui pewujudan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat tempatan serta peningkatan penyertaan golongan belia dalam sektor akuakultur moden berasaskan teknologi dan inovasi.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, YBhg. Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop berkata, “Kerjasama strategik ini merupakan satu lagi langkah signifikan MBI Selangor dalam merealisasikan agenda pembangunan ekonomi negeri yang mampan dan berimpak tinggi. Pembangunan industri akuakultur moden di ZIPS bukan sahaja akan memperkukuh rantaian bekalan makanan negeri, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat khususnya di Sabak Bernam. MBI Selangor komited untuk terus memudahcara pelaburan strategik yang mampu merangsang pembangunan industri bernilai tinggi, selaras dengan aspirasi SABDA sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu di utara Selangor.” 

Kerjasama antara MBI Selangor dan Farmerex Sdn Bhd ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam menarik pelaburan strategik, merangsang pembangunan ekonomi wilayah dan memperkukuh kedudukan Sabak Bernam sebagai hab ekonomi baharu yang progresif, mampan dan berdaya saing. 

Kawasan Pembangunan Sabak Bernam / Sabak Bernam Development Area (SABDA): 

SABDA merupakan satu inisiatif ekonomi strategik di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) Kerajaan Negeri Selangor. Inisiatif ini diterajui oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dengan matlamat untuk memperkasa komuniti bagi membina ekosistem yang mampan dan berdaya maju melalui pengukuhan keselamatan makanan, daya tahan serta sumber sara hidup berasaskan amalan lestari. 

Teras Utama SABDA:
1. Memacu ekonomi makanan laut Selangor di Sabak Bernam bagi memperkukuh dan menjamin pengeluaran hasil laut.
2. Menjamin keselamatan makanan Negeri Selangor dengan penekanan kepada pertanian berteraskan teknologi.
3. Mempromosikan ekopelancongan dan agropelancongan sebagai platform untuk mengetengahkan budaya, tradisi serta warisan makanan tempatan Sabak Bernam, di samping memastikan pembangunan yang selari dengan pemeliharaan alam sekitar. 

Latar Belakang Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) 

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor merupakan syarikat pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Negeri Selangor yang berperanan memacu pembangunan ekonomi negeri secara mampan dan berdaya saing. 

Sebagai agensi pelaburan strategik negeri, MBI Selangor memainkan peranan penting dalam menerajui pelaburan berimpak tinggi, memperkukuh kerjasama strategik serta merancakkan pembangunan sektor-sektor utama negeri termasuk infrastruktur, pembangunan industri, tenaga dan ekonomi digital.  

Selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan pembangunan wilayah Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS), MBI Selangor komited dalam menyokong agenda pembangunan negeri melalui pelaburan berkualiti, penciptaan peluang ekonomi serta pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat Selangor secara menyeluruh. 

MBI Selangor turut menitikberatkan amalan tadbir urus yang baik, kelestarian dan penciptaan nilai jangka panjang dalam setiap inisiatif dan portfolio pelaburannya. 

Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.mbiselangor.com  

SUMBER: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Wan Laila Fatihah
Pengurus Besar, Komunikasi Strategik Kumpulan
Tel: +6019-331 4145
Emel: wan.laila@mbiselangor.com.my

Nama: Muhammad Zulhilmi Zainol 
Eksekutif Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan
Tel: +6013-390 3804
Emel: zulhilmi@mbiselangor.com.my

--BERNAMA 
Back to Home