KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Persatuan Francais Malaysia (MFA) hari ini secara rasmi melancarkan Malam Anugerah Francais Malaysia 2026 (MAF2026) sebagai platform berprestij bagi mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan pencapaian terbaik pemain industri francais tempatan dan antarabangsa.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Tuan Steven Sim bersempena Majlis Resepsi Koktel Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2026 (FIM2026) di Dewan 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). FIM2026 berlangsung selama tiga hari sehingga 23 Mei 2026.
MAF2026 dijadualkan berlangsung pada 20 November 2026 di Kuala Lumpur dan dijangka menghimpunkan lebih 1,000 penggiat industri francais, agensi Kerajaan, pemegang taruh serta rakan strategik industri dalam satu acara berprestij yang mengangkat sumbangan sektor francais terhadap pembangunan ekonomi negara.
Pencalonan bagi MAF2026 akan dibuka bermula Jun hingga Ogos 2026 dan penyertaan adalah terbuka kepada semua penggiat industri francais termasuk syarikat yang bukan ahli MFA.
Sebanyak 23 anugerah yang akan dipertandingkan, meliputi Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisor Antarabangsa, Kategori Francaisi, Kategori Terbuka, Kategori ESG dan Kategori Media.
Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, buat julung kalinya juga, MFA turut memperkenalkan dua anugerah baharu iaitu
Best Franchise Productivity dan
Best Franchise Digitalization di bawah kategori terbuka. Pengenalan anugerah ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada syarikat francais yang bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi perniagaan, malah berjaya meningkatkan produktiviti operasi serta memperkukuh pendigitalan dalam organisasi.
“Dalam usaha memperkasakan kredibiliti dan impak anugerah, MFA turut menjalin kerjasama strategik bersama
Malaysia Productivity Corporation (MPC) bagi memperkenalkan elemen penilaian baharu yang lebih komprehensif dan berteraskan produktiviti,” tambahnya.
Sepanjang penganjurannya, anugerah kategori Francais Terbaik pernah dimenangi oleh jenama terkenal seperti Daily Fresh, Focus Point, Global Art, Home Maths Therapy, Marrybrown, OldTown White Coffee, Smart Reader Kids, Secret Recipe dan The Manhattan Fish Market.
Orang ramai dan penggiat industri yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai MAF2026 boleh melayari laman rasmi di
www.mfa.org.my/maf SUMBER: Persatuan Francais Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Nurul Ain Binti Mohamad
Bahagian Pemasaran dan Komunikasi
Tel: 0112-9240213
Emel: ain.mohamad@mfa.org.my
--BERNAMA