​I Squared Capital Lancar Cube Grid — Platform Penghantaran Kuasa Baharu di India

Released on: Friday, 22 May 2026 12:30PM

Pelaburan USD$1 Bilion Disasarkan untuk Usaha Niaga Baharu
 
NEW DELHI & MIAMI, 22 Mei (Bernama-BUSINESS WIRE) -- I Squared Capital (“I Squared”), pengurus pelaburan infrastruktur global terkemuka, hari ini mengumumkan pelancaran Cube Grid, platform penghantaran kuasa baharu yang menyasarkan grid elektrik India yang berkembang pesat. I Squared dijangka melaburkan sehingga USD$1 bilion modal ekuiti ke dalam Cube Grid bagi memperoleh dan membangunkan portfolio berskala aset penghantaran berkualiti tinggi di seluruh India.

Selaras dengan pendekatan pembangunan platform oleh I Squared, Cube Grid telah menandatangani perjanjian muktamad bagi aset permulaan melibatkan lebih 1,450 kilometer litar (ckm) talian penghantaran. Projek-projek tersebut dibangunkan dengan kerjasama Dineshchandra Group (Dineshchandra R. Agrawal Infracon Private Limited atau “DRAIPL”), pemaju infrastruktur berpengalaman dengan lebih lima dekad kepakaran dalam melaksanakan projek berskala besar di India, Australia, Asia Barat dan Afrika.

Sektor penghantaran kuasa India dijangka memasuki fasa pertumbuhan luar biasa, didorong oleh sokongan dasar yang kukuh serta perkembangan pesat kapasiti tenaga boleh diperbaharui. Kerajaan India telah menggariskan pelan hala tuju bercita-cita tinggi untuk memodenkan dan memperluaskan grid nasional, yang memerlukan anggaran perbelanjaan modal sebanyak USD$120 bilion dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang bagi mengintegrasikan kapasiti penjanaan baharu dan memenuhi peningkatan permintaan. Perkembangan itu diyakini berpotensi mewujudkan saluran projek penghantaran yang besar di seluruh negara, sekali gus menawarkan peluang menarik bagi pembangunan greenfield serta pengambilalihan aset operasi.

Rakan Kanan I Squared Capital, Harsh Agrawal berkata: “India merupakan antara ekonomi utama yang berkembang paling pantas dan pasaran infrastruktur yang amat menarik. I Squared telah melabur di India selama lebih sedekad dan menyaksikan sendiri perkembangan pesat penjanaan tenaga, khususnya tenaga boleh diperbaharui. Kami percaya keadaan ini mewujudkan peluang jangka panjang untuk memperoleh dan membangunkan aset grid kritikal yang menyokong pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepatkan peralihan tenaga. DRAIPL mempunyai rekod prestasi kukuh hasil kerjasama kami sebelum ini menerusi Cube Highways, sebuah lagi syarikat portfolio I Squared di India. Perluasan kerjasama ini ke sektor penghantaran memberikan Cube Grid rakan pelaksanaan yang mantap.”

Pengarah Dineshchandra Group, Hardik Agrawal berkata: “Sektor penghantaran India kini berada pada titik perubahan ketika negara mempercepat integrasi tenaga boleh diperbaharui dan peluasan grid. Kami berbesar hati bekerjasama dengan I Squared dan Cube Grid dalam membangunkan sektor ini. Setelah menyaksikan pendekatan jangka panjang berteraskan pembangunan platform oleh I Squared, kami percaya kerjasama ini menggabungkan disiplin kewangan dan fokus operasi dengan keupayaan pelaksanaan yang kukuh bagi membangunkan infrastruktur penghantaran berkualiti tinggi serta menyumbang kepada aspirasi Atmanirbhar dan Viksit Bharat.”

Sepanjang sedekad lalu, I Squared telah melaburkan lebih USD$4 bilion dalam sektor infrastruktur India, termasuk memiliki, membangunkan dan mengendalikan portfolio enam syarikat yang menyediakan perkhidmatan penting kepada jutaan penduduk di seluruh negara. Kerjasama dengan DRAIPL menggabungkan kepakaran pelaburan global dan pengalaman pembangunan platform I Squared dengan keupayaan pelaksanaan tempatan serta pengetahuan pasaran serantau milik DRAIPL.

Transaksi itu dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan syarat penutupan lazim.

Maklumat tentang I Squared Capital

I Squared Capital ialah pelabur infrastruktur global bebas terkemuka yang memberi tumpuan kepada pasaran pertengahan, dengan aset di bawah pengurusan bernilai $55 bilion. Ditubuhkan pada 2012, I Squared telah berkembang menjadi antara pelabur infrastruktur paling pelbagai di dunia, dengan pelaburan merangkumi sektor tenaga dan utiliti; pengangkutan dan logistik; infrastruktur digital; infrastruktur alam sekitar; serta infrastruktur sosial, yang menyediakan perkhidmatan penting kepada jutaan penduduk di seluruh dunia. Kini, portfolio syarikat itu merangkumi lebih 100 syarikat yang beroperasi di lebih 70 negara. Beribu pejabat di Miami, firma tersebut mempunyai pejabat di Abu Dhabi, London, Munich, New Delhi, São Paulo, Singapura, Sydney dan Taipei. Maklumat lanjut boleh didapati di www.isquaredcapital.com.

Penafian

Dokumen ini tidak merupakan nasihat, syor, tawaran jualan atau pelawaan untuk berurusan dalam mana-mana sekuriti atau produk kewangan. Ia disediakan untuk tujuan maklumat sahaja. Pelaburan melibatkan risiko dan kemungkinan kehilangan modal utama tetap wujud. Pelaburan khusus yang diterangkan dalam dokumen ini tidak mewakili keseluruhan keputusan pelaburan yang dibuat oleh ISQ. Pembaca tidak seharusnya menganggap bahawa keputusan pelaburan yang dikenal pasti dan dibincangkan adalah atau akan terus menguntungkan. Rujukan nasihat pelaburan khusus yang diberikan di sini adalah untuk tujuan ilustrasi sahaja dan tidak semestinya mewakili pelaburan yang akan dibuat pada masa hadapan.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Hubungi

Hubungan Media
I Squared Capital
Dominic McMullan / Sofie Brewis
info@isquaredcapital.com
 
Sumber: I Squared Capital

--BERNAMA
Back to Home