KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil maklum dan mengikuti polemik berkenaan kedudukan institusi Raja yang timbul baru-baru ini. IKIM menegaskan bahawa institusi Raja merupakan teras penting dalam sistem kenegaraan Malaysia yang dibina atas prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan ini bukan sahaja mencerminkan sejarah dan identiti negara, malah menjadi tunjang kestabilan, perpaduan dan kesinambungan pemerintahan negara.
Prinsip kedua Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” menzahirkan komitmen seluruh rakyat Malaysia untuk menghormati institusi Raja sebagai lambang kedaulatan negara dan perpaduan rakyat berbilang kaum. Prinsip ini harus difahami dan dihayati secara menyeluruh selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Utama Negara, manakala Perkara 44 menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan sebahagian daripada institusi Parlimen bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Hal ini membuktikan institusi Raja mempunyai kedudukan yang penting dan sah di sisi Perlembagaan dalam struktur pemerintahan negara.
Institusi Raja juga berperanan memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan menurut Perkara 3(1), serta menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di samping kepentingan sah kaum-kaum lain sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 153. Perkara 181(1) turut menegaskan bahawa kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu kekal terpelihara.
Sehubungan itu, IKIM menyeru semua pihak agar terus memperkukuh kefahaman mengenai sistem Raja Berperlembagaan serta memelihara adab dan tanggungjawab dalam membincangkan perkara-perkara berkaitan institusi Raja. Pendidikan kenegaraan dan penghayatan Perlembagaan perlu terus diperkasakan demi memastikan perpaduan, kestabilan dan keharmonian negara terus terpelihara.
Sekian, terima kasih.
Prof. Madya Dato' Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
22 Mei 2026 | 5 Zulhijjah 1447H
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel: 019-388 7600
E-mel: fairuz@ikim.gov.my
Nama:Haji Mohd Faiz bin Othman
Tel: 012-2105658
E-mel: faiz@ikim.gov.my
--BERNAMA