IKIMfm SEMARAKKAN MUSIM HAJI DAN AIDILADHA 1447H DENGAN PELBAGAI PENGISIAN KHAS

Released on: Friday, 15 May 2026 4:57PM


KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Sempena ketibaan musim haji dan sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H/2026, IKIMfm yang menyambut 25 tahun penubuhannya, tampil dengan pelbagai pengisian khas menerusi Kempen Haji dan Aidiladha yang dirangka bagi meningkatkan kefahaman serta penghayatan masyarakat terhadap ibadah haji dan korban.

Kempen ini menghimpunkan pelbagai bentuk siaran termasuk rancangan bual bicara, kapsul ilmu, siaran langsung, laporan semasa serta pengisian kerohanian yang akan bersiaran sepanjang musim haji dan Aidiladha.

Antara pengisian utama yang disediakan ialah rancangan khas “Serasi” dan “Tahsinul Ibadah” yang membincangkan pelbagai isu berkaitan ibadah haji dan korban, selain kapsul Soal Jawab Ibadah Korban bersama Ustaz Ahmad Lutfi Muharram.

Turut menjadi tumpuan ialah siaran “Talbiah Haji” pada setiap permulaan jam sepanjang musim haji, program tahunan “Debaran Mabrur”, siaran langsung Khutbah Arafah menerusi siaran silang bersama TV AlHijrah serta laporan penerbangan pergi dan pulang jemaah haji Malaysia kerjasama dengan Tabung Haji.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil ketika melancarkan kempen tersebut semasa siaran luar IKIMfm di Menara Alor Setar pada 7 Mei lalu berkata, ibadah haji dan korban bukan sekadar ritual, tetapi simbol ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan yang perlu dihayati oleh masyarakat.

“Ibadah haji dan korban bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi perjalanan jiwa yang mendalam. Kefahaman yang tepat amat penting agar masyarakat bukan hanya melaksanakan, tetapi benar-benar menghayati hikmah di sebalik ibadah ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kempen kali ini dirangka secara menyeluruh bagi membawa pendengar mendekati suasana Haji dan Aidiladha melalui pelbagai bentuk siaran yang bersifat informatif dan spiritual.

Menurut beliau, kempen ini bukan sahaja bertujuan memberi kefahaman yang tepat kepada masyarakat, malah membantu mengelakkan salah faham berkaitan ibadah haji dan korban serta menghidupkan penghayatan Aidiladha dalam kehidupan seharian.

IKIMfm berharap pengisian yang disediakan sepanjang musim haji dan Aidiladha ini dapat menjadi medium ilmu, refleksi dan penghayatan kepada pendengar dalam memahami nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

15 Mei 2026 / 27 Zulkaedah 1447H
 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel: 019-388 7600
E-mel: fairuz@ikim.gov.my

Nama: Haji Mohd Faiz bin Othman
Tel: 012-2105658
E-mel: faiz@ikim.gov.my

--BERNAMA
Back to Home