En. Rosnan Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan JKKN (depan tengah) bergambar pada program Intelek Seni 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM) Selangor. SERDANG, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (PKKSSAAS) telah menganjurkan
Program Intelek Seni 2026 bertajuk
“Keindahan Ekologi Budaya” pada 12 Mei 2026 (Selasa) bertempat di
Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang.Program Intelek Seni merupakan program berbentuk ilmiah yang dilaksanakan sejak tahun 2019 sebagai medium perkongsian ilmu berkaitan kearifan tempatan dalam pelbagai aspek seni budaya warisan tempatan melalui pandangan dan kupasan para intelektual seni budaya. Program ini turut menampilkan perkongsian pengalaman, pengetahuan dan kepakaran daripada penggiat/pengamal dan tokoh seni budaya tempatan.
Objektif penganjuran program ini adalah menjadi medium JKKN untuk menyebarluaskan ilmu berkaitan seni budaya dalam usaha pemeliharaan dan pembangunan seni budaya serta warisan negara. Para peserta dapat mendalami unsur-unsur positif dan negatif dalam amalan seni dan budaya masyarakat setempat serta membincangkan tentang hal-hal seni budaya yang semakin dilupakan di Malaysia. Selain itu, JKKN sentiasa fokus dalam memberi pendedahan ilmu berkaitan seni budaya khususnya kepada para belia supaya semangat cintakan seni budaya dapat diterapkan di dalam diri.
Menariknya, program kali ini JKKN akan menampilkan tiga (3) orang panel jemputan yang pakar dan berkemahiran dalam bidang akademik untuk membicarakan berkaitan hubungan alam semula jadi dan kelestarian warisan budaya. Pelaksanaan program pada tahun ini memfokuskan kepada tajuk “Keindahan Ekologi Budaya” yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perkaitan rapat antara kelestarian alam semula jadi dengan pemeliharaan warisan budaya serta memartabatkan ilmu kearifan tempatan dalam penjagaan ekosistem yang kian terpinggir oleh arus zaman.
Ekologi budaya dapat didefiniskan melalui cara masyarakat tempatan menyesuaikan gaya hidup mereka dengan persekitaran tropika yang unik. Sebagai contoh, masyarakat melayu mempamerkan keindahan ekologi budaya melalui reka bentuk rumah kayu yang mempunyai sistem pengudaraan semula jadi dan bertiang tinggi untuk menyesuaikan diri dengan iklim panas lembap serta risiko banjir. Di kawasan pesisir pula, komuniti nelayan pula membina budaya yang berpusat pada kitaran laut dan musim monsun, yang mempengaruhi segala-galanya daripada teknik penangkapan ikan sehinggalah kepada upacara dan sastera lisan masyarakat setempat. Dalam masyarakat moden di Malaysia, konsep ini terus berkembang melalui integrasi nilai-nilai keagamaan dan budaya yang menekankan tanggungjawab menjaga alam sekitar sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat yang berbilang kaum.
Dikeluarkan Oleh:Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama: Naurah Daria binti Janiur
Tel: 03-2614 2184
E-mel: doria@jkkn.gov.my
Nama: Adelin Lina binti Jasri
Tel : 03-2614 8244
E-mel: adelin.lina@jkkn.gov.my
Unit Komunikasi KorporatTel: 03-2614 8200
Faks: 03-2697 0786
E-mel: ukk@jkkn.gov.my
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya
--BERNAMA