NMB Memperkukuh Daya Tahan Tenaga Negara secara Mampan melalui Inovasi Hijau

Released on: Monday, 11 May 2026 10:19AM


KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Sebagai tindak balas terhadap cabaran tenaga global yang semakin meningkat, krisis bekalan bahan api fosil yang berterusan, permintaan elektrik yang kian meningkat, serta keperluan mendesak terhadap penyelesaian mampan berasaskan tenaga boleh diperbaharui, NMB (NanoMalaysia Berhad), sebuah syarikat berhad menurut jaminan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sedang memajukan rangkaian inovasi tenaga bersih bagi mengukuhkan keselamatan tenaga Malaysia ke arah daya tahan yang lebih tinggi dan mempercepatkan peralihan ke pelepasan karbon rendah untuk masa hadapan.

Melalui program strategik, kerjasama dan model pelaburan bina teroka, NMB telah menerajui pembangunan teknologi hijau berpaksikan pasaran serta memacu pelaksanaan dalam persekitaran sebenar dalam bidang penghasilan hidrogen, sistem penyimpanan tenaga, teknologi cekap tenaga dan teknologi berkaitan kenderaan elektrik (EV). Inisiatif-inisiatif ini merangkumi sistem penghasilan hidrogen luar grid HyPEReactor untuk aplikasi mobiliti dan statik, Stesen Pengisian Semula Hidrogen Mudah Alih (MHRS) pertama di Semenanjung Malaysia bagi menggalakkan penggunaan bahan api bersih dalam sektor pengangkutan awam, teknologi bateri ion natrium yang dipertingkatkan dengan graphene bagi mengurangkan kebergantungan terhadap rantaian bekalan litium, serta stesen pengecasan EV berkuasa solar sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada stesen jana kuasa arang batu. Secara kolektif, teknologi-teknologi ini membentuk satu pakej penyelesaian yang direka untuk meningkatkan keselamatan tenaga, mengurangkan pelepasan berbahaya dan kebergantungan terhadap bahan api fosil, serta membolehkan peningkatan skala melalui pelaksanaan dunia nyata dan dagangan berasaskan kerjasama industri.       
   
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NMB, Dr Rezal Khairi Ahmad, berkata: “Secara prinsipnya, ketahanan perlu dibina dari awal secara proaktif dan bukan sebagai tindak balas selepas berdepan sebarang krisis. Ketika permintaan tenaga terus meningkat di peringkat global dan gangguan bekalan bahan api fosil akibat krisis tenaga dunia yang masih berterusan, negara-negara semakin giat meneroka sumber tenaga alternatif serta infrastruktur yang lebih berdaya tahan. Malaysia turut berdepan cabaran termasuk peningkatan penggunaan tenaga di kawasan yang mengalami pertumbuhan pesat, khususnya daripada infrastruktur ekonomi digital seperti pusat data dan menara telekomunikasi, kebolehpercayaan grid di kawasan terpencil, kebergantungan kepada bahan api import, serta permintaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik. Keselamatan tenaga dan kemampanan merupakan keutamaan nasional yang kritikal. Melalui inisiatif-inisiatif ini, NMB sedang memperkukuh ekosistem tenaga bersih Malaysia dengan membangunkan teknologi yang boleh diskalakan, berdaya tahan dan dipacu secara tempatan, sambil membina keupayaan nasional jangka panjang.”

HyPEReactor: Kuasa Bersih untuk Komuniti yang Terpinggir

HyPEReactor merupakan satu pencapaian penting dalam tenaga boleh diperbaharui luar grid, dengan membekalkan kuasa berasaskan hidrogen tanpa emisi kepada komuniti luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat akses kepada infrastruktur tenaga. Dilaksanakan di Perkampungan Orang Asli Tibang di Perak, sistem hidrogen keadaan pepejal ini menggantikan penjana diesel dengan bekalan elektrik yang bersih dan boleh dipercayai.

Digerakkan oleh teknologi penjanaan hidrogen berasaskan natrium, HyPEReactor menyediakan bekalan elektrik tanpa gangguan pada operasi tekanan rendah serta dilengkapi dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan. Ini menjadikan sistem ini sesuai untuk peelektrikan luar bandar, infrastruktur telekomunikasi dan aplikasi tenaga mudah alih. Penyelesaian ini menyokong akses tenaga yang lebih saksama di samping mengurangkan pelepasan karbon.

MHRS: Memacu Mobiliti Hidrogen

NMB bersama rakan kerjasama turut melancarkan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) pertama di Semenanjung Malaysia, menandakan satu pencapaian penting dalam kesediaan mobiliti hidrogen negara. MHRS berfungsi sebagai projek perintis bagi menunjukkan potensi hidrogen sebagai bahan api alternatif yang berdaya maju untuk sektor pengangkutan dalam keadaan operasi dunia sebenar.

Stesen pengisian semula mudah alih ini menyediakan infrastruktur penting bagi menyokong ujian kenderaan berkuasa hidrogen, termasuk penggunaan perintis awal yang melibatkan bas dan lori. Ia juga berfungsi sebagai tapak uji bagi pengesahan teknologi dan laluan pengkomersialan masa depan, sekaligus mewujudkan peluang untuk peningkatan skala, khususnya dalam segmen pengangkutan kenderaan berat, di mana hidrogen menawarkan kelebihan operasi yang ketara serta potensi pengurangan pelepasan emisi.

Bateri Ion Natrium Dipertingkatkan dengan Graphene: Penyimpanan Tenaga Generasi Baharu

Prototaip bateri ini telah dibangunkan di bawah program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI). Ia mampu mencapai ketumpatan tenaga melebihi 300 Wh/kg dan menawarkan alternatif yang lebih selamat serta lebih mampan berbanding bateri berasaskan litium. Teknologi ini telah berjaya disahkan pada skala makmal dan NMB kini sedang meneruskan usaha peningkatan skala serta pembangunan ke tahap TRL yang lebih tinggi untuk aplikasi dunia sebenar.

Teknologi bateri ini direka untuk penyimpanan tenaga berskala grid, integrasi tenaga boleh baharu, sistem sandaran telekomunikasi dan aplikasi mobiliti elektrik. Dengan mengurangkan kebergantungan kepada mineral kritikal seperti litium dan kobalt, inovasi ini menyokong penyelesaian penyimpanan tenaga yang mampan dan keberkesanan kos.

Stesen Pengecasan EV Tenaga Boleh Diperbaharui: Menyokong Mobiliti Hijau

NMB juga sedang memajukan infrastruktur pengecasan EV berasaskan tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong keperluan peelektrikan Malaysia yang semakin meningkat. Stesen pengecasan ini direka untuk menyokong kenderaan mesra alam beroda dua dan beroda empat yang menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Sistem bersepadu ini mengurangkan pelepasan karbon dan kebergantungan kepada bahan api fosil melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk pengecasan EV, disokong oleh sistem solar photovolta dan penyimpanan tenaga bateri. Inisiatif ini turut merangkumi prototaip pengecasan tanpa wayar yang mampu membekalkan kuasa sekitar 18 kW, sekali gus menyokong matlamat lebih besar NMB terhadap sistem pengecasan tanpa wayar generasi baharu.

Secara keseluruhannya, inisiatif-inisiatif ini menunjukkan komitmen NMB dalam membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan dan mampan melalui pelbagai laluan tenaga alternatif. Daripada kuasa hidrogen untuk daya tahan luar grid dan infrastruktur mobiliti, kepada bateri generasi baharu serta penyelesaian peelektrikan berasaskan tenaga boleh baharu, projek-projek ini mencerminkan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang dalam teknologi tenaga bersih.

SUMBER: NanoMalaysia Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI
E-Mel: corporateaffairs@nanomalaysia.com.my 

--BERNAMA
Back to Home