UOB Malaysia catat keuntungan bersih sebelum cukai paling tinggi sebanyak RM2.5 bilion pada 2025

Released on: Wednesday, 06 May 2026 12:19PM

Table
Ng Wei Wei, CEO, UOB Malaysia


KUALA LUMPUR, Malaysia, 6 Mei (Bernama) -- UOB Malaysia melaporkan keuntungan bersih sebelum cukai (NPBT) paling tinggi sebanyak RM2.5 bilion dan jumlah pendapatan operasi RM4.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2025. Ini didorong oleh pertumbuhan 9.5 peratus dalam keuntungan operasi dan tahap jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah, disokong oleh masuk kira semula aset-aset tidak terjejas.
 
Keuntungan bersih sebelum cukai UOB Malaysia meningkat 15.6 peratus (2024: RM2.2 bilion), manakala pendapatan operasi mencatat kenaikan 4.5 peratus kepada RM4.9 bilion (2024: RM4.7 bilion) bersandarkan pertumbuhan dalam pendapatan faedah bersih daripada penyata imbangan yang dioptimumkan, pendapatan bukan faedah yang lebih baik serta pendapatan lebih tinggi daripada perniagaan Perbankan Islam.
 
Sementara itu, nisbah kos kepada pendapatan Bank meningkat lebih daripada dua peratus, menunjukkan pengurusan kos secara berdisiplin yang berterusan di seluruh bank. Pada masa yang sama, jumlah elaun untuk jangkaan kerugian kredit telah menurun dengan ketara hampir 70 peratus disebabkan oleh masuk kira semula aset-aset tidak terjejas.
 
Pada 2025, pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar UOB Malaysia meningkat 2.8 peratus kepada RM112.6 bilion (2024:RM109.5 bilion), disokong oleh pertumbuhan yang stabil dalam kedua-dua segmen Borong dan Runcitnya. Sementara itu, deposit bukan bank meningkat 5.8 peratus kepada RM121.3 bilion (2024: RM114.6 bilion). Dalam usaha mengukuhkan penyata imbangannya, Bank terus memberi tumpuan pada pengembangan dan pengekalan deposit berkualiti, dan ini telah menghasilkan campuran pendanaan yang lebih baik serta nisbah akaun simpanan dan akaun semasa (CASA) yang lebih tinggi.
 
Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Kami berbesar hati untuk mencatatkan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak RM2.5 bilion pada 2025. Ini merupakan hasil daripada pertumbuhan pendapatan yang mantap dalam kesemua perniagaan teras kami, pengurusan kos yang berdisiplin, dan kos kredit yang lebih rendah. Prestasi kukuh ini membuktikan daya tahan francais kami, pengurusan risiko berhemat dan tumpuan berterusan untuk membina perniagaan yang mampan dan seimbang bagi membantu pelanggan kami dan juga pertumbuhan jangka panjang Malaysia.”
 
Kedudukan kredit yang kukuh dan prospek yang stabil Bank juga disahkan melalui penarafan AAA oleh RAM Holdings Berhad, satu pencapaian yang kekal sejak 2012. Kedudukan modal juga terus kukuh, dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 sebanyak 16.0 peratus dan Nisbah Kecukupan Modal sebanyak 19.4 peratus, jauh melebihi keperluan kawal selia, justeru menyediakan penampan yang mencukupi bagi pertumbuhan masa hadapan.
 
Sempena menandakan ulang tahun ke-75 UOB Malaysia, Bank akan terus memberi tumpuan pada kesalinghubungan serantau, memperkukuh platformnya dan meningkatkan keupayaan rentas sempadan bagi membantu pertumbuhan pelanggan. Ini berikutan tinjauan Bank terhadap kedudukan kekuatan Malaysia secara relatif dalam keadaan ketidakpastian global, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang stabil dan aliran pelaburan yang mantap, di samping pelbagai inisiatif kebangsaan bagi mengukuhkan ekonomi dan mempercepatkan peralihan ke arah sektor nilai tambah yang lebih tinggi.
 
Bank juga telah melaksanakan program bantuan kewangan bagi membantu pelanggan yang terjejas oleh konflik di Asia Barat. Pelanggan yang menjangkakan atau sedang mengalami masalah kewangan amat digalakkan untuk menghubungi Bank lebih awal melalui saluran bantuan khusus atau pengurus perhubungan.
 
Sebagai mengiktiraf prestasi kewangan yang konsisten, kesalinghubungan serantau yang kukuh, dan komitmen terhadap kemampanan, UOB Malaysia telah menerima anugerah Bank Terbaik 2026 dan Bank Mampan Terbaik di Malaysia di bawah Kategori Antarabangsa oleh FinanceAsia. Ini adalah tahun kedua berturut-turut Bank menerima kedua-dua anugerah tersebut.
 
Prestasi kewangan UOB Malaysia yang terkini boleh didapati dalam Laporan Tahunan 2025, diterbitkan hari ini, dan boleh didapati di laman web Bank di uob.com.my.

Mengenai UOB Malaysia
UOB Malaysia diiktiraf sebagai antara bank utama di Malaysia dengan penarafan AAA jangka panjang dari Ratings Agency of Malaysia. Ia telah memantapkan kedudukannya selama lebih tujuh dekad di negara ini dan mempunyai 55 cawangan di seluruh negara, menawarkan perkhidmatan perbankan konvensional dan Islam kepada para pelanggannya.
 
UOB Malaysia adalah anak syarikat UOB, sebuah bank terkemuka di Asia dengan rangkaian global di Asia Tenggara, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Beroperasi melalui ibu pejabat kami di Singapura dan anak syarikat perbankan di China, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam, kami mempunyai rangkaian global melebihi 430 cawangan dan pejabat di 19 pasaran. UOB telah mengamalkan pendekatan berpusatkan pelanggan bagi mewujudkan nilai jangka panjang supaya kekal relevan, melalui semangat keusahawanan dan melakukan segala yang diperlukan bagi pelanggannya. UOB memberi tumpuan kepada pembinaan masa depan ASEAN – untuk rakyat dan perniagaan di dalam, dan yang berhubung dengan ASEAN.
 
Dengan jejak serantau yang tiada tandingannya, Bank dapat menghubungkan perniagaan kepada peluang di rantau ini. Bank juga memanfaatkan data dan maklumat bagi memperkenalkan pembaharuan serta mewujudkan pengalaman dan penyelesaian perbankan yang diperibadikan demi memenuhi keperluan unik dan pilihan pelanggan yang sentiasa berubah. UOB juga komited membantu perniagaan menempa masa depan yang mampan, dengan memupuk keterangkuman sosial, mewujudkan impak alam sekitar yang positif dan mencapai kemajuan ekonomi. UOB berusaha menjadi penyedia perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dan teguh dalam menyokong seni, pembangunan sosial kanak-kanak dan pendidikan, melakukan segala yang diperlukan demi komuniti dan pihak berkepentingannya

Sumber: UOB Malaysia
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Averlyn Lim
Brand, Media and Communications 
E-mel: averlyn.limsl@uob.com.my 
Tel: 01802299 168
 
Nama: Nizam Arop
Brand, Media and Communications
E-mel: nizam.arop@uob.com.my   
Tel: 603- 2638 6304/ 6017-333 6329

--BERNAMA
 
Back to Home