MELAKA, 4 Mei (Bernama) -- Pertandingan kejuruteraan berasaskan pembinaan jambatan yang bermula lebih sedekad lalu kini melangkah ke peringkat kebangsaan menerusi penganjuran
Vital Factor Consulting Cup 2026, dengan tawaran hadiah utama sebanyak RM15,000. Program yang menampilkan cabaran
“Bridge Over Troubled Waters” itu mula diperkenalkan pada tahun 2009 oleh alumni Malacca Anglo-Chinese School sebelum berkembang daripada inisiatif tempatan kepada platform inovasi lebih besar.
Pada tahun ini, pertandingan ini dianjurkan bersama Malacca Anglo-Chinese School dan Malacca Methodist Girls’ Secondary School, sekali gus menjadikan penganjuran ini ke peringkat kebangsaan buat julung kali.
Dalam pertandingan ini, peserta dikehendaki membina jambatan menggunakan bahan seperti batang aiskrim, tali dan gam. Namun, penilaian bukan hanya tertumpu kepada kekuatan struktur semata-mata, sebaliknya mengambil kira kecekapan reka bentuk berdasarkan nisbah beban yang mampu ditampung berbanding jumlah bahan digunakan.
Rekod penganjuran terdahulu menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila jambatan yang dibina pada tahun 2009 mampu menampung beban sehingga 19.5 kilogram, sebelum meningkat kepada 38.5 kilogram pada tahun 2012.
Selain aspek teknikal, pertandingan itu turut membuka ruang kepada peserta untuk meneroka minat dalam bidang kejuruteraan. Malah, terdapat peserta pertandingan sebelum ini yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan hasil pendedahan melalui pertandingan itu.
Pertandingan kali ini dijangka menarik penyertaan kira-kira 160 pasukan dari seluruh negara, melibatkan katagori sekolah rendah, sekolah menengah, Pra Universiri, Pelajar IPT dan katagori terbuka. Majlis pelancaran rasmi dijadualkan berlangsung pada 9 Mei ini, manakala pertandingan akan diadakan pada 27 Jun depan.
Sebanyak 21 hadiah wang tunai ditawarkan kepada pemenang, termasuk hadiah utama RM15,000 kepada juara keseluruhan.
Pengarah Urusan Vital Factor Consulting Sdn Bhd, Wooi Tan, berkata pihaknya komited menyokong inisiatif yang mampu memupuk kemahiran teknikal, inovasi serta keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan peserta.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ikhua Engineering Sdn Bhd, Cerlina Ho, berkata penajaan tersebut mencerminkan usaha pihak industri dalam menyumbang kepada pembangunan bakat kejuruteraan serta menggalakkan budaya inovasi.
Program itu dipersembahkan oleh Vital Factor Consulting Sdn Bhd dengan kerjasama Ikhua Engineering Sdn Bhd.
Maklumat lanjut mengenai pertandingan, termasuk syarat dan peraturan, boleh didapati melalui laman rasmi berikut:
https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/vfccups2026 Pendaftaran penyertaan boleh dibuat melalui pautan:
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSctuIZfJewgRf5SBpKTaup37q4KH2SRZbSJnU_qYXsGU3gwsg/viewform