BANTAHAN PENGANJURAN PROGRAM RAIN RAVE WATER FESTIVAL 2026

Released on: Thursday, 30 Apr 2026 5:39PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memandang serius mengenai penganjuran Rain Rave Water Festival 2026 yang dijadualkan berlangsung di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
 
MAIWP ingin menegaskan bahawa dalam usaha memajukan sektor pelancongan dan hiburan di Wilayah Persekutuan, aspek kesejahteraan dan keharmonian sosial perlulah menjadi keutamaan. Penganjuran Rain Rave Water Festival 2026 dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan dalam persekitaran bandar raya Kuala Lumpur yang menempatkan masyarakat berbilang kaum dan agama.
 
Penganjuran ini sudah pasti akan mengganggu sensitiviti masyarakat setempat. Pada pandangan kami, penganjuran ini sama sekali tidak melambangkan prinsip dan adat ketimuran yang menjadi teras masyarakat di Malaysia. Ini kerana program yang bersifat hiburan bebas (rave) dan melibatkan aktiviti air secara terbuka dilihat sebagai satu bentuk keterlanjuran yang membuka ruang kepada pergaulan bebas dan kelakuan tidak bermoral. Pendirian ini turut disandarkan kepada ulasan Bayan Linnas Siri ke-351: Rain Rave Water Music Festival 2026 yang menyifatkan festival muzik atau pesta hiburan seringkali dikaitkan dengan unsur-unsur yang boleh mencetuskan persoalan dari sudut nilai, adab, dan hukum syarak.
 
Sebagai pemegang amanah hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan, MAIWP mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan ibu negara tidak menjadi lokasi kepada penganjuran aktiviti yang boleh meruntuhkan nilai adab dan akhlak generasi muda.
 
Justeru kami menyeru agar penganjur lebih bertanggungjawab dalam memilih bentuk hiburan yang lebih bermanfaat dan tidak mencetuskan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
 
Setiausaha
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
April 2026

SUMBER: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Sutera Manis 
Ketua Unit Komunikasi Korporat
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
E-mel: sutera.manis@maiwp.gov.my


--BERNAMA
Back to Home