KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil serius laporan media berhubung kebimbangan mengenai lambakan produk kesihatan tidak sah dan dakwaan mekanisme pengesahan label hologram KKM tidak berfungsi. KKM ingin menegaskan bahawa dakwaan berhubung kegagalan sistem tersebut adalah tidak tepat.
Sistem pengesahan ketulenan label keselamatan (label hologram) sedia ada berfungsi dengan baik dan kekal sebagai salah satu komponen penting dalam ekosistem kawal selia Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). KKM sentiasa melaksanakan pemantauan komprehensif yang merangkumi pendaftaran produk, pelesenan, serta audit rantaian bekalan bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.
Sebagai langkah pendigitalan dan penambahbaikan berterusan bagi menangani isu pemalsuan, aplikasi MyUBAT telah dinaik taraf sebagai platform tunggal penentu sah ketulenan label keselamatan produk. Aplikasi ini kini berkemampuan untuk mengimbas semua versi label keselamatan hologram KKM, sama ada versi terdahulu mahupun semasa. Selain itu, pengesahan ketulenan produk juga boleh dilakukan di premis farmasi berlesen yang dilengkapi dengan peralatan pengesahan khusus KKM.
KKM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran produk tidak berdaftar atau aktiviti pemalsuan label keselamatan.
Orang awam diseru untuk sentiasa mendapatkan produk daripada premis yang sah, menggunakan aplikasi MyUBAT bagi tujuan semakan, dan segera melaporkan sebarang keraguan kepada pihak berkuasa. KKM memberi jaminan bahawa ekosistem keselamatan produk kesihatan di pasaran kekal kukuh dan terkawal.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
22 APRIL 2026
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Effaizah binti Shahidan
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: +603-8883 3478 / 012-3417379
Faks: +603-8888 6187
E-mel: effaizah@moh.gov.my
--BERNAMA