Penyelidikan Klinikal di Malaysia Melaporkan Peningkatan Akses Pesakit, Kemajuan Kajian Fasa Awal dan Pertumbuhan Tenaga Kerja pada 2025

Released on: Monday, 20 Apr 2026 4:46PM

KUCHING, Sarawak, 20 April (Bernama) -- Clinical Research Malaysia (CRM) melancarkan Laporan Tahunan 2025 serta merasmikan pejabat baharunya di Kuching pada 16 April 2026. Ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Malaysia memperkukuh ekosistem penyelidikan klinikal dan meningkatkan daya saing negara sebagai destinasi kajian klinikal yang ditaja.
 
Tahun 2025 menyaksikan kemajuan yang progresif dalam pendedahan pesakit  kepada kajian klinikal, dengan lebih 300 fasiliti kesihatan di seluruh negara kini mempunyai pengalaman dalam pelaksanaan penyelidikan klinikal. Daripada keseluruhan kajian klinikal yang ditaja pada 2025, sebanyak 46% dilaksanakan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus memperkukuh peranan institusi kesihatan awam dalam memperluas akses kepada terapi baharu bagi pesakit dan komuniti yang mempunyai keperluan perubatan yang belum dipenuhi. Kajian-kajian ini tertumpu terutamanya dalam bidang terapeutik utama seperti onkologi, penyakit kardiovaskular dan keadaan keutamaan lain, selaras dengan keperluan kesihatan negara serta trend penyelidikan global.
 
Kemajuan Malaysia dalam penyelidikan klinikal fasa awal turut menerima pengiktirafan antarabangsa pada 2025. Satu kertas putih IQVIA bertajuk Malaysia: The New Destination for Early Phase Trials, yang telah dirasmikan pada hari ini menyatakan peningkatan kesiapsiagaan negara untuk melaksanakan kajian fasa awal, disokong oleh infrastruktur yang mantap, kemajuan kawal selia serta kepelbagaian populasi pesakit. Hospital Umum Sarawak mencerminkan perkembangan ini apabila mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat penyelidikan onkologi terkemuka serta berjaya melaksanakan dua kajian First-in-Human (FIH) pada 2025.
 
CRM terus memberi keutamaan kepada pembangunan kapasiti, dengan pasukan kajian yang berkemahiran serta penyelaras kajian yang kekal memainkan peranan penting dalam ekosistem penyelidikan klinikal Malaysia. Bagi menyokong pembangunan berterusan penyelaras kajian di wilayah utara dan Sarawak, CRM telah membuka cawangan pejabatnya di Pulau Pinang pada 2025 dan kini dikembangkan ke Kuching. Peluasan serantau ini dijangka akan memperkukuh keupayaan tempatan, menyokong pembangunan tenaga kerja serta meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menjayakan penyelidikan klinikal berkualiti tinggi dan berfokuskan pesakit di seluruh negara.
 
“Ekosistem penyelidikan klinikal Malaysia terus mencatatkan kemajuan yang bermakna dan melebihi jangkauan. Perluasan tapak penyelidikan, keupayaan yang meningkat dalam kajian fasa awal serta inisiatif berterusan dalam pembangunan kapasiti mencerminkan kesiapsiagaan Malaysia dalam memainkan peranan yang lebih bernilai di peringkat serantau dan global, di samping memberikan nilai tambah kepada pesakit dan sistem penjagaan kesihatan,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merangkap Pengerusi CRM dalam mesyuarat Lembaga Pengarah hari ini.

Pautan Gambar:
https://clinicalresearchmalaysia-my.sharepoint.com/:f:/g/personal/contact_clinicalresearch_my/IgCs6NAGUNqCTp4JKZ4RVFEdAQyMrA0p4IA8qJTA3QNcyfY?e=NA8tCe
 
Mengenai Clinical Research Malaysia (CRM)

Sumber: Clinical Research Malaysia (CRM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:    
Nama: Sufea Salehuddin
Pegawai Eksekutif Komunikasi Korporat         
Tel: +6011-11202702 / +603-7931 5566 (ext. 125) 
E-mel: sufea.irdina@clinicalresearch.my
 
 --BERNAMA


 
Back to Home