KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah
RM4.5 juta daripada RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) bagi tahun 2025 dalam satu sesi kunjungan hormat yang berlangsung di ibu pejabat MAIWP.
Penyerahan zakat tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Encik Mohammed Hassan dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya.
Sejak tahun 2022, RHB Islamic telah membuat pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM14.5 juta kepada PPZ-MAIWP, sekali gus membuktikan komitmen institusi perbankan ini dalam memperkukuhkan institusi zakat dan menampung keperluan asnaf di Wilayah Persekutuan.
“Bayaran zakat yang diterima pada hari ini bukan sahaja mencerminkan rasa tanggungjawab syarikat korporat dalam menunaikan rukun Islam ketiga, malah turut menggambarkan keprihatinan tinggi RHB Islamic terhadap kebajikan golongan asnaf di sini,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Encik Mohammed Hassan.
Sementara itu, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali berkata, “RHB Islamic komited dalam menyalurkan zakat bagi membantu golongan asnaf dan memastikan manfaat kewangan Islam dirasai secara lebih meluas oleh masyarakat. Tahun ini merupakan pencapaian bermakna memandangkan jumlah zakat yang diserahkan kepada PPZ-MAIWP adalah yang tertinggi setakat ini. Kami berharap sumbangan ini dapat terus membantu meringankan beban asnaf serta memperkukuh usaha bantuan yang lebih terancang dan berkesan.”
Kerjasama strategik antara PPZ-MAIWP dan RHB Islamic telah terjalin sejak 2016, apabila institusi kewangan ini dilantik sebagai ejen sah kutipan zakat PPZ-MAIWP. Hubungan ini terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama, antaranya Kempen Pelanggan Mewah, Program Imarah Ramadan, Program Semarak Zakat serta program wakalah yang memberi penekanan kepada pemerkasaan agihan zakat secara lebih tersusun dan berimpak.
Memasuki tahun 2026, kolaborasi ini dijangka terus diperluas menerusi pelbagai program lain, antaranya penyaluran sumbangan kepada komuniti di Projek Perumahan Awam (PA) Desa Rejang dengan nilai melebihi RM100,000, yang dibiayai melalui dana wakalah peserta Program Pelanggan Mewah RHB.
PPZ-MAIWP komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama strategik bersama lebih banyak syarikat korporat, selaras dengan aspirasi bagi memperhebatkan landskap pengurusan zakat yang lebih dinamik dan inklusif demi kesejahteraan golongan asnaf khususnya di Wilayah Persekutuan.
MENGENAI PPZ-MAIWPPusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) adalah sebuah agensi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengutip zakat harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Sejak ditubuhkan, PPZ-MAIWP telah merevolusikan pengurusan zakat menerusi pendekatan korporat, efisien dan mesra pelanggan, menjadikannya antara institusi zakat paling progresif di Malaysia. PPZ-MAIWP menyediakan pelbagai saluran bayaran zakat secara dalam talian dan fizikal, bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan berzakat dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
Selain kutipan zakat, PPZ-MAIWP turut diberi tanggungjawab untuk mengurus kutipan wakaf tunai bagi pihak MAIWP. Wakaf tunai ini disalurkan ke pelbagai program pembangunan ummah seperti pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pemerkasaan ekonomi asnaf.
Untuk maklumat lanjut, sila layari
www.zakat.com.my atau layari
www.wakafwilayah.com.my.
UNTUK PERTANYAAN MEDIA, SILA HUBUNGI:NORAZLINA MOHD NORDIN, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat, 019 728 3839FATIN AQILAH ZULKEFLI, Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat, 017 393 5432NOR ATHIRAH MOHD HANAPIAH, Eksekutif Komunikasi Korporat, 013 456 2603MENGENAI KUMPULAN PERBANKAN RHBKumpulan Perbankan RHB merupakan salah satu institusi kewangan yang tertua dan terkemuka di Malaysia, dengan warisan yang telah menjangkau lebih satu abad. Beribu pejabat di Kuala Lumpur, Malaysia, Kumpulan ini mempunyai kehadiran kukuh di tujuh pasaran ASEAN dan disokong oleh kira-kira 13,000 warga kerja. Bersatu di bawah matlamat bersama – Together We Progress – RHB komited untuk memperkasa individu, perniagaan dan komuniti agar berkembang dan maju bersama.
Sebagai kumpulan kewangan bersepadu sepenuhnya, perniagaan teras kami disusun dalam enam tonggak utama: Perbankan Komuniti Kumpulan, Perbankan Korporat & Perniagaan Kumpulan, Perbankan Borong Kumpulan, Perniagaan Syariah Kumpulan, Perniagaan Antarabangsa Kumpulan, dan Insurans Kumpulan. Kami menawarkan penyelesaian kewangan yang menyeluruh dan inovatif melalui RHB Bank Berhad dan anak-anak syarikat utama kami: RHB Investment Bank Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, dan RHB Insurance Berhad. Perniagaan pengurusan aset dan amanah unit dikendalikan oleh RHB Asset Management Sdn. Bhd. dan RHB Islamic International Asset Management Berhad.
RHB Bank Berhad disenaraikan di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran sebanyak RM35.1 bilion setakat 15 April 2026.
Dipandu oleh matlamat kami, RHB memberi tumpuan kepada penyampaian nilai yang bermakna dan mampan melalui pemacuan inovasi, penggalakan pertumbuhan inklusif serta pengukuhan daya tahan jangka panjang bagi memenuhi keperluan pelanggan, komuniti dan keseluruhan ekosistem kewangan yang sentiasa berkembang.
Untuk maklumat lanjut, sila layari
www.rhbgroup.com.
Malaysia | Singapura | Indonesia | Thailand | Brunei | Kemboja | Lao PDR
SUMBER: RHB Islamic Bank Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nishanthi Palani
Vice President, Group Corporate Communications
E-mel: nishanthi.palani@rhbgroup.com
--BERNAMA