​STATUS PELANTIKAN TETAP DAN PENJAJARAN STRATEGIK LALUAN KERJAYA PEGAWAI FARMASI KKM

Released on: Tuesday, 07 Apr 2026 9:20AM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan dalam laporan media bertajuk "45 Contract Pharmacists In Limbo As Jobs End Saturday" yang diterbitkan pada 2 April 2026.

KKM ingin menjelaskan bahawa sebarang tawaran pelantikan tetap adalah bersyarat. Surat pelantikan dan penempatan hanya akan dikeluarkan setelah calon memenuhi semua kriteria yang ditetapkan, termasuk pengesahan kesihatan, Akuan Berkanun, serta kekosongan jawatan yang dimuktamadkan. Terdapat juga kes di mana pegawai terlibat merupakan calon simpanan yang perlu menunggu giliran mengikut kekosongan semasa.

Buat masa ini, tiada urusan penyambungan kontrak memandangkan pegawai-pegawai tersebut telah mencapai had maksimum tempoh kontrak sehingga lima tahun yang telah ditetapkan. Namun, mereka boleh memohon semula apabila pengambilan lantikan tetap dibuka pada penghujung tahun 2027, dengan gred kemasukan baharu iaitu UF10 (dahulunya UF43), selaras dengan pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang telah berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024.

KKM kekal komited untuk memastikan kebajikan warga kesihatan terus terpelihara. Penjajaran strategik ini merupakan langkah penting bagi memperkukuh sistem sumber manusia kesihatan negara agar lebih saksama, telus dan berdaya saing dalam jangka masa panjang. 

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
6 APRIL 2026


SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Effaizah binti Shahidan 
Pegawai Perhubungan Awam 
Unit Komunikasi Korporat 
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: +603-8883 3478 
Faks: +603-8888 6187

--BERNAMA
 
Back to Home