KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), atas lawatan rasmi beliau ke Malaysia. Lawatan ini mencerminkan hubungan kerjasama yang erat, strategik dan berterusan antara Malaysia dan WHO dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan, daya tahan sistem kesihatan, serta mempertingkat keupayaan respons terhadap cabaran kesihatan global.
Dalam pertemuan tersebut, Dr. Tedros merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen dan penglibatan aktif dalam isu kesihatan antarabangsa, serta peranan konstruktif dalam memperkukuh kerjasama global berteraskan solidariti. Kunjungan ini membawa implikasi positif secara langsung kepada rakyat Malaysia bagi tujuan pencegahan, kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam, menerusi rundingan Pathogen Access and Benefit Sharing (PABS) di bawah Intergovernmental Working Group (IGWG) yang sedang berlangsung.
Kerjasama ini turut memperkukuh kesiapsiagaan (preparedness) dan sistem amaran awal (early warning system) Malaysia terhadap ancaman penyakit berjangkit melalui rundingan pindaan International Health Regulations (IHR) serta Pandemic Agreement. Usaha ini memastikan Malaysia lebih pantas mengesan dan bertindak balas terhadap sebarang krisis kesihatan masa hadapan, sekali gus meminimumkan gangguan kepada aktiviti ekonomi dan kelangsungan sosial rakyat.
YB Menteri Kesihatan menegaskan bahawa penglibatan aktif Malaysia di peringkat WHO adalah untuk memastikan suara rakyat Malaysia terus diberi perhatian di peringkat kesihatan global. Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama dengan WHO bagi memastikan sistem kesihatan negara sentiasa berada di tahap tertinggi, inklusif, dan bersedia mendepani sebarang cabaran kesihatan global demi kesejahteraan rakyat.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
31 MAC 2026
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Effaizah binti Shahidan
Tel: +603-8883 3478 / 012-3417379
Faks: +603-8888 6187
--BERNAMA