KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- IKIMfm akan menampilkan pelbagai pengisian istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H menerusi rangkaian Rancangan Khas Aidilfitri yang disiarkan sepanjang 1 hingga 5 Syawal 1447H.
Mengangkat tema “Kesederhanaan dan Perpaduan” dengan tagline “Inspirasi Syawal”, siaran Aidilfitri tahun ini selaras dengan seruan agar sambutan Aidilfitri diraikan secara sederhana berikutan situasi dunia yang masih berdepan konflik kemanusiaan di Timur Tengah serta ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut Pemangku Pengurus Besar Kanan IKIMfm, Mahathir bin Shaharuddin, pemilihan tema tersebut bertujuan mengajak masyarakat menghayati Aidilfitri dengan penuh kesyukuran serta empati terhadap saudara-saudara Islam yang sedang diuji.
“Melalui siaran khas ini, IKIMfm ingin mengajak masyarakat menyambut Syawal dengan penuh kesederhanaan, kesyukuran dan semangat perpaduan,” katanya.
Antara rancangan utama yang bakal disiarkan termasuk Raudah Syawal bersama Ustaz Fuad Mokhtar, Gemersik Aidilfitri bersama kumpulan nasyid The Solusi, serta Bijak Beraya yang membincangkan kepentingan mengamalkan kesederhanaan dalam perbelanjaan ketika beraya.
Salah satu tarikan istimewa siaran Aidilfitri IKIMfm tahun ini ialah Sketsa Raya, segmen dramatik yang menampilkan lakonan para penyampai IKIMfm sendiri dengan kisah kehidupan masyarakat ketika menyambut Syawal.
Selain itu, para pendengar juga berpeluang mengikuti siaran ulangan drama radio popular Ramadan, “Haruman Ramadan”, yang akan disiarkan sepanjang 1 hingga 5 Syawal dari pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari.
Pendengar boleh mengikuti siaran khas ini menerusi IKIMfm di frekuensi seluruh Malaysia serta platform digital IKIMfm.
Frekuensi IKIMfm:
Lembah Klang – 91.5 fm
Ipoh – 102.7 fm
Perlis/Kedah/Langkawi – 89.0 fm
Balik Pulau, Pulau Pinang – 102.7 fm
Seremban – 102.7 fm
Melaka – 89.5 fm
Johor Bahru – 106.2 fm
Kuantan – 89.6 fm
Kuala Terangganu – 100.2 fm
Kota Bharu – 89.8 fm
Kuching – 93.7 fm
Kota Kinabalu – 93.9 fm
Lahad Datu – 107.3 fm
Tawau – 100.7 fm
Miri – 104.0 fm
Sekian, terima kasih,
17 Mac 2026 / 27 Ramadan 1447H
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
SUMBER: INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Pn. Hajah Fairuz binti Hj Noordin
Tel : 019-388 7600
E-mel: fairuz@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel : 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA