KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mengambil serius isu persekitaran kerja dan kebajikan seluruh petugas kesihatan, terutamanya dalam memastikan setiap warga KKM bertugas dalam persekitaran yang profesional, beretika, dan berteraskan nilai-nilai MADANI.
Bagi menjamin tiada kekaburan dalam menangani isu salah laku, KKM akan memperkasakan pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan sedia ada yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pekeliling ini secara tegas melarang penggunaan bahasa kasar, maki hamun, penghinaan secara terbuka (public shaming), mahupun sebarang gangguan emosi yang melampaui batas profesionalisme. Dokumen ini menjadi rujukan mandatori dalam tindakan tatatertib bagi memastikan setiap aduan diproses secara adil dan telus di semua peringkat fasiliti.
Pengurusan tertinggi di setiap fasiliti kesihatan perlu mengambil tanggungjawab mewujudkan budaya kerja harmoni dan penyayang serta wajib menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang aduan tanpa kompromi atau melindungi mana-mana individu. Saya ingin menegaskan bahawa kegagalan pemimpin untuk bertindak balas terhadap aduan adalah satu kegagalan tadbir urus yang serius, berdasarkan prinsip “Failure to take action is a failure itself.”
KKM komited memperkasa ekosistem kerja yang selamat dan kondusif demi masa depan perkhidmatan kesihatan yang berintegriti serta berperikemanusiaan.
DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
10 MAC 2026
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Effaizah binti Shahidan
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel : +603-8883 3478 / 012-3417379
Faks : +603-8888 6187
E-mel: effaizah@moh.gov.my
--BERNAMA