KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Bulan Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan dan disambut dengan pelbagai aktiviti sosial seperti kunjungan ke bazar Ramadan serta majlis berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan. Dalam suasana ini, orang ramai disaran untuk terus mengamalkan langkah kesihatan kendiri secara konsisten, termasuk dari segi kesihatan pernafasan.
Penyakit tibi (TB) ialah penyakit berjangkit bawaan udara yang boleh merebak apabila seseorang yang menghidap TB paru-paru aktif batuk, bercakap atau bersin. Walau bagaimanapun, TB lazimnya tidak merebak dengan cepat seperti influenza atau COVID-19 dan biasanya memerlukan pendedahan yang lebih lama serta berulang.
Sehingga
Minggu Epidemiologi ke-6 (ME-6/2026), sebanyak
596 kes baharu Tibi telah didaftarkan menjadikan
bilangan kes keseluruhan berjumlah 3,161 kes. Pecahan mengikut negeri beserta kadar insiden (IR) bagi setiap 100,000 penduduk adalah seperti berikut:
| Bil. | Negeri | Jumlah Kes | % ikut Negeri | Kadar Insiden |
| 1 | Sabah | 755 | 23.88% | 20.08 |
| 2 | Selangor | 596 | 18.85% | 8.05 |
| 3 | Sarawak | 332 | 10.50% | 13.12 |
| 4 | Johor | 280 | 8.86% | 6.66 |
| 5 | Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya | 244 | 7.72% | 11.12 |
| | | | | |
| Bil. | Negeri | Jumlah Kes | % ikut Negeri | Kadar Insiden |
| 6 | Kedah | 181 | 5.73% | 8.12 |
| 7 | Pulau Pinang | 172 | 5.44% | 9.54 |
| 8 | Perak | 154 | 4.87% | 5.98 |
| 9 | Kelantan | 121 | 3.83% | 6.34 |
| 10 | Pahang | 103 | 3.26% | 6.14 |
| 11 | Terengganu | 74 | 2.34% | 5.93 |
| 12 | Negeri Sembilan | 62 | 1.96% | 4.98 |
| 13 | Melaka | 48 | 1.52% | 4.56 |
| 14 | Perlis | 21 | 0.66% | 7.05 |
| 15 | Wilayah Persekutuan Labuan | 18 | 0.57% | 17.84 |
Saranan Pencegahan dan Kawalan Sepanjang Ramadan Risiko penularan boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh yang panjang di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan, khususnya jika terdapat individu dengan TB aktif yang belum menjalani rawatan. Namun, risiko sebenar bergantung kepada beberapa faktor termasuk tempoh pendedahan, keadaan pengudaraan dan tahap kesihatan individu terlibat.
Perlu ditegaskan bahawa Ramadan bukanlah punca kepada penularan TB. Walau bagaimanapun, peningkatan aktiviti sosial dan perhimpunan sepanjang bulan ini secara umumnya meningkatkan interaksi dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk:
■ Mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul
■ Memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup
■ Memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di tempat yang sesak
■ Mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami batuk berpanjangan melebihi dua minggu atau gejala lain yang berkaitan
Pendekatan berasaskan kesedaran komuniti ini amat penting bagi memastikan pengesanan awal, rawatan yang berkesan serta pencegahan penularan dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Dengan kesedaran dan tindakan bersama, kita mampu memastikan Ramadan disambut dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA21 FEBRUARI 2026
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Effaizah binti ShahidanPegawai Perhubungan AwamUnit Komunikasi KorporatTel: +603-8883 3478--BERNAMA