Dari kiri: Datuk Mohd Zafir Ibrahim - Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Ir. Zulkiflee Omar – Ketua Pegawai Ekesekutif PAAB, Datuk Seri Aminuddin Harun – Menteri Besar Negeri Sembilan (Tengah)
Dari kanan: Datuk Masri Razali - Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ir. Yazid Ahmad - Ketua Pegawai Ekesekutif SAINS​SEREMBAN, 20 Feb (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan hari ini mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur air negara menerusi Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Zulkiflee Omar, pembinaan LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 berkapasiti 150 juta liter sehari (JLH) ini akan meningkatkan rizab bekalan air terawat yang menghubungkan Seremban, Nilai dan Sendayan, selaras dengan pertumbuhan pesat pembangunan dan peningkatan permintaan air di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 bernilai RM228 juta, dibina bagi meningkatkan rizab bekalan air terawat dan sistem agihan untuk kemudahan dan manfaat kira-kira 88,000 pengguna domestik dan industri di kawasan terbabit.
Untuk rekod, Negeri Sembilan menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negara pada 31 Disember 2008 menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS).
Sepanjang tempoh 18 tahun, PAAB dan SAINS melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan menaik taraf infrastruktur air di Negeri Sembilan. Sehingga akhir 2025, PAAB berjaya menyiapkan pelbagai projek infrastruktur air dengan nilai pelaburan berjumlah RM730 juta.
Pada masa sama, terdapat beberapa pembinaan projek infrastruktur air dalam pelaksanaan di negeri ini melibatkan nilai pembangunan berjumlah RM397 juta.
Antaranya termasuk projek menaik taraf LRA Pantai, LRA Sungai Terip dan LRA Sungai Linggi serta projek pemasangan paip dari Kolam Paroi – Senawang ke Kolam Industri Sungai Gadut sepanjang 10 kilometer.
Justeru, majlis perasmian itu bukan sahaja menandakan penyiapan sebuah projek pembangunan infrastruktur air yang strategik, malah mencerminkan komitmen berterusan PAAB dalam memperkukuh rizab bekalan air di Negeri Sembilan secara mampan.
Kejayaan projek ini merupakan hasil kerjasama erat dan komitmen tinggi pelbagai pihak, termasuk Kerajaan Negeri, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), SAINS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi teknikal, konsultan, kontraktor serta pasukan profesional PAAB.
Sebagai pemaju utama pembangunan infrastruktur air di Negeri Sembilan, PAAB komited untuk terus meningkatkan kerjasama dan menyokong usaha Kerajaan Negeri dan SAINS untuk memastikan kelestarian dan kemampanan industri air terpelihara.
PAAB juga memastikan setiap projek pembangunan infrastruktur air yang dirancang dapat direalisasikan dengan sebaiknya selaras dengan aspirasi pembangunan di negeri ini untuk kesejahteraan rakyat dan pengguna.
PAAB ditubuhkan pada tahun 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara dengan kadar pembiayaan yang kompetitif.
SUMBER: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi Korporat PAAB
Tel: 03-2614 5535--BERNAMA