UDA PERKUKUH MOMENTUM DI JOHOR, UDA HEIGHTS TERIMA SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN

Released on: Friday, 13 Feb 2026 5:08PM

Table
UDA Heights menawarkan dua jenis kediaman iaitu banglo dan rumah berkembar dua tingkat yang dibangunkan di Bandar UDA Utama, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU, 13 Feb (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuhkan momentum pembangunan hartanah di pasaran Johor menerusi sambutan memberangsangkan terhadap projek kediaman premium, UDA Heights.

YBrs. Encik Azrudyn Rashid, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA menyifatkan, “Keyakinan ini dizahirkan menerusi permintaan yang memberangsangkan selepas hampir 80 peratus unit kediaman impian, banglo dan rumah berkembar dua tingkat projek itu telah habis dijual. 

“Alhamdulillah, lebih 70 pembeli menerima kunci pada Majlis Penyerahan Kunci UDA Heights yang diadakan baru-baru ini. Lebih membanggakan, projek ini turut berjaya disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan, mencerminkan komitmen kami dalam memastikan pelaksanaan projek yang cekap dan berkualiti.

“Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada UDA untuk terus komited dalam membangunkan projek berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran hartanah negara serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti,” kata beliau. 

UDA Heights yang terletak di lokasi strategik di Bandar UDA Utama menawarkan dua jenis kediaman iaitu banglo enam bilik tidur serta enam bilik air dan rumah berkembar dilengkapi lima bilik tidur dan enam bilik air. Ia direka khusus untuk memenuhi keperluan kediaman tiga generasi yang turut dilengkapi dengan bilik utiliti untuk ruang pejabat atau pembelajaran di rumah, dapur kering dan dapur basah serta tandas mesra Orang Kurang Upaya (OKU). 

Pembangunan ini juga menerapkan inisiatif penuaian air sebagai sebahagian daripada komitmen UDA terhadap ciri pembangunan lestari. Banglo bersaiz lot 80’ x 90’ ditawarkan pada harga bermula RM2.2 juta serta rumah berkembar bersaiz lot 50’ x 70’ pada harga bermula RM1.7 juta. 

Mengulas lanjut, YBrs. Encik Azrudyn berkata, “UDA sentiasa komited dalam menyediakan pembangunan berkualiti tinggi, selari dengan keperluan dan kemampuan masyarakat, khususnya di kawasan berpotensi seperti Johor. 

Menurut beliau, “Sehingga kini di Johor sahaja, UDA menerusi UDA Land (South) Sdn Bhd telah berjaya membangunkan hampir 9,000 unit kediaman dan komersial dengan lebih 70 peratus daripadanya merupakan pembeli Bumiputera. Inisiatif ini menyokong pemilikan hartanah dalam kalangan masyarakat majmuk termasuk pembeli pertama serta golongan profesional khususnya di kawasan bandar. 

“Pembangunan itu dirancang secara holistik, demi kesejahteraan sosioekonomi komuniti di samping menjamin nilai jangka panjang kepada pemilik. Berbekalkan pengalaman ini, kami komited untuk terus membangunkan projek pembangunan berkualiti serta memenuhi keperluan semasa, sesuai dengan peranan sebagai antara pemaju hartanah terkemuka di selatan tanah air, khususnya di Johor.  
 
“Antara projek kediaman yang sedang dibangunkan ialah Sedili Residensi di Tanjung Sedili, Kota Tinggi yang menawarkan 48 unit rumah teres satu tingkat mampu milik. Setiap unit berkeluasan kira-kira 861 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air, dengan harga bermula daripada RM320,060. 

“Pada tahun ini, UDA optimis untuk melancarkan tiga projek baharu. Antaranya ialah Residensi Monstera yang menampilkan gabungan rumah bandar dua dan tiga tingkat. Selain itu, bagi meneruskan kesinambungan pembangunan baharu di Bandar UDA Utama menerusi UDA Enclave, kami juga bakal melancarkan projek UDA Amarylis Plot 1 dan Plot 2 yang merangkumi pembangunan rumah teres dua tingkat,” kata beliau. 

Jelas YBrs. Encik Azrudyn, “Seiring dengan aspirasi ‘Memenuhi Impian’, UDA bertekad untuk terus memainkan peranan strategik dalam membangunkan bandar, memperkasa usahawan dan membina komuniti mampan melalui pembangunan hartanah, ekosistem komersial yang dinamik, hospitaliti bernilai tambah serta pengurusan fasiliti yang profesional. 

“Setiap inisiatif dipacu oleh pendekatan berteraskan tanggungjawab, kelestarian dan tadbir urus yang baik, disokong oleh amalan mesra alam, keterangkuman sosial serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan daya tahan jangka panjang,” kata beliau.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi pejabat jualan UDA Land (South) Sdn Bhd atau terus menghubungi talian 011 1722 6120 bagi mendapatkan maklumat lanjut.  

Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk info terkini dan jangan lepaskan peluang memiliki hartanah UDA.  

UDA HOLDINGS BERHAD

Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Selama 55 tahun, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan Bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.

UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.

Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta (UDA PIM), hospitaliti (UDA Hospitaliti) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus).

UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan menerusi aspirasi ‘Memenuhi Impian’ sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia, demi kesejahteraan serta masa depan generasi hari ini dan akan datang. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.uda.com.my

SUMBER: UDA Holdings Berhad (UDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nisa Kamaruzaman                                                
Tel: +6013 597 4264
E-mel: n.hanisah@udanet.com     

Nama: Dzaqiatul Syahira Asmapi                 
Tel: +6018 375 2208
E-mel: dzaqiatul@udanet.com        

Nama: Ahmad Fadhlullah Adnan            
Tel: +6019 493 2154 
E-mel: ahmad.fadhlullah@udanet.com 

--BERNAMA
Back to Home