FIM2026 TUMPU PERKASA EKOSISTEM DAN JADI PLATFORM PERTEMUAN FRANCAIS TERUNGGUL

Released on: Friday, 13 Feb 2026 11:49AM

Table

Rakan strategik FIM2026 bergambar bersama Timbalan Menteri KUSKOP selepas sesi penyerahan replika cek penajaan. 


KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Franchise International Malaysia (FIM) 2026 terus memperkukuh peranannya sebagai platform pertemuan francais terunggul dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekosistem francais yang menyeluruh dan mampan, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais utama di peringkat ASEAN dan global.
 
Pameran anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) ini akan berlangsung  pada 21 hingga 23 Mei 2026 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
 
FIM2026 menyediakan platform strategik untuk menghubungkan francaisor dan bakal francaisi, dengan lebih 250 ruang pameran yang menampilkan jenama-jenama francais terkemuka dari dalam dan luar negara. Pameran ini turut menyasarkan nilai potensi pelaburan sebanyak RM600 juta serta kehadiran lebih 25,000 pengunjung, merangkumi pemain industri, bakal usahawan, pelabur dan keseluruhan ekosistem francais.
 
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad bin Alamin, Kementerian ini kekal komited dalam menyokong pembangunan industri francais melalui pelaksanaan dasar, penyediaan bantuan kewangan serta penganjuran program pembangunan keusahawanan secara berterusan.
 
“Usaha ini diperkukuhkan melalui Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) yang bertujuan memperkasa jenama francais tempatan ke pasaran global serta menarik penyertaan jenama dan pelabur antarabangsa ke Malaysia. Inisiatif ini dijangka memberi kesan pengganda kepada ekonomi negara melalui pertumbuhan mampan. Sehubungan itu, FIM berperanan sebagai platform strategik bagi merealisasikan hasrat untuk memperkasa industri francais tempatan dan antarabangsa,” katanya.
  
FIM turut menerima sokongan daripada World Franchise Council (WFC) dan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC), sekali gus memperkukuh kedudukan FIM sebagai platform strategik pembangunan industri francais di peringkat antarabangsa.
 
Sementara itu, Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, beliau menjemput serta menggalakkan syarikat-syarikat francais, sama ada dari dalam mahupun luar negara agar menyertai dan menjadi sebahagian daripada FIM2026.
 
Setakat ini, FIM telah menerima sokongan penajaan daripada Home Maths Therapy, iBooze, Marrybrown, Meiko, Momoyo, Midyson, Kyochon Chicken, The Manhattan Fish Market dan US Pizza.
 
Syarikat yang berminat untuk menyertai FIM2026 boleh menghubungi Sekretariat MFA di talian 03-6241 4141 atau melayari laman web rasmi www.myfim.my untuk maklumat lanjut.
 
 
SUMBER: Persatuan Francais Malaysia (MFA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nurul Ain
Perhubungan Awam, Bahagian Perancangan Strategik & Pembangunan Program
Persatuan Francais Malaysia (MFA)
Tel: 603-6241 4141 / 011-2924 0213
Faks: 603-6241 1551  
E-mel: ain.mohamad@mfa.org.my
Laman web: www.mfa.org.my 

--BERNAMA
Back to Home