SELANGOR PERKUKUH EKOSISTEM PKS DAN PELUANG PEKERJAAN SETEMPAT MELALUI PROGRAM LOCAL BUSINESS CONNECT @ DUN BATU TIGA

Released on: Thursday, 12 Feb 2026 3:09PM

Table
Dari Kiri, YB Tuan Danial Al-Rashid bin Haron Aminar Rashid, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga; YB Tuan Ng Sze Han, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Negeri Selangor; YBhg. Dato’ Hasan Azhari bin Haji Idris, Ketua Pegawai Eksekutif, Invest Selangor Berhad. 

SHAH ALAM, 12 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor Berhad dengan kerjasama Pejabat DUN Batu Tiga hari ini menganjurkan program Local Business Connect (LBC) @ DUN Batu Tiga, satu inisiatif strategik bagi menghubungkan pelabur dengan usahawan tempatan serta menawarkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.
 
Program yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa ini dirasmikan oleh YB Tuan Ng Sze Han, Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, Negeri Selangor dan dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, YB Tuan Danial Al-Rashid bin Haron Aminar Rashid.
 
Dalam ucapannya, YB Tuan Ng Sze Han menegaskan bahawa Selangor kekal sebagai nadi ekonomi negara dengan menyumbang 26.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2024 dan pertumbuhan ekonomi ini diterjemahkan secara langsung kepada manfaat rakyat melalui peluang pekerjaan berkualiti.
 
“Keyakinan pelabur terhadap ekosistem Selangor yang kukuh telah membolehkan kita merekodkan penciptaan 43,998 peluang pekerjaan bagi tempoh Januari hingga September 2025. Ini adalah jumlah tertinggi di Malaysia, sekaligus membuktikan kejayaan dasar kerajaan negeri dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi,” kata beliau.
 
Program LBC ini berfungsi sebagai landasan bagi mewujudkan kesan limpahan ekonomi (spillover effect) kepada perniagaan tempatan. Syarikat multinasional dan pelabur di Selangor memerlukan rantaian sokongan yang kukuh, termasuk pembekal tempatan, logistik, dan perkhidmatan profesional.
 
“Melalui sesi jaringan dan padanan perniagaan hari ini, kita mahu memastikan usahawan tempatan bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi menjadi rakan strategik dalam rantaian nilai ekonomi Selangor,” tambah YB Tuan Ng Sze Han.
 
Sementara itu, ADUN Batu Tiga, YB Tuan Danial Al-Rashid bin Haron Aminar Rashid menyifatkan penganjuran program ini sebagai peluang keemasan bagi usahawan dan pencari kerja di kawasan tersebut.
 
“Inisiatif ini berjaya mengumpulkan seramai 250 peserta yang terdiri daripada usahawan, pelabur, dan pemain industri. Saya amat berbesar hati melihat program ini turut disokong oleh agensi seperti PERKESO, yang membawakan peluang pekerjaan terus kepada penduduk Batu Tiga melalui pameran kerjaya,” ujar beliau.
 
Tambah beliau, program ini selaras dengan hasratnya untuk melihat lebih ramai penduduk tempatan memperoleh pekerjaan yang stabil dan berpendapatan baik, serta usahawan tempatan mendapat akses kepada pasaran yang lebih luas. 

Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai agensi termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Yayasan Hijrah Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Untuk maklumat pelaburan negeri Selangor, sila lawati www.investselangor.my  

SUMBER: Invest Selangor Berhad 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Puan Maryani 
Tel: 016-699 7901
Emel: maryani@investselangor.my

--BERNAMA 
Back to Home