MAJLIS APRESIASI PASCA SAMBUTAN VM2026 COUNTDOWN FESTIVAL HIMPUNKAN RAKAN STRATEGIK INDUSTRI PELANCONGAN

Released on: Monday, 09 Feb 2026 4:43PM

Table
Rakan strategik diraikan pada Majlis Apresiasi Pasca Sambutan Visit Malaysia 2026 Countdown Festival


KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Tourism Malaysia telah menganjurkan Majlis Apresiasi Pasca Sambutan Visit Malaysia 2026 (VM2026) Countdown Festival pada 4 Februari 2026 sebagai tanda penghargaan kepada rakan strategik, penaja serta pihak berkepentingan yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan sambutan berkenaan.
 
Majlis yang berlangsung di Royal Collection Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh YB Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kerjasama awam-swasta demi kejayaan kempen pelancongan nasional tersebut.
 
Dalam ucapannya, YB Tuan Chiew Choon Man menegaskan bahawa VM2026 merupakan satu inisiatif strategik negara yang bertujuan untuk merancakkan industri pelancongan, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi bertaraf dunia serta menjana impak ekonomi yang mampan kepada rakyat dan negara.
 
“VM2026 bukan sekadar menumpukan kepada peningkatan jumlah ketibaan pelawat, tetapi turut menekankan kualiti pengalaman pelancongan yang holistik. Ia merangkumi keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya dan warisan, keunikan gastronomi serta gaya hidup rakyat Malaysia yang mesra dan inklusif,” katanya.
 
Kempen VM2026 yang mengangkat tema dan slogan Surreal Experiences mencerminkan pengalaman pelancongan luar biasa, unik dan sukar dilupakan, yang hanya boleh ditemui di Malaysia. Sehubungan itu, kolaborasi strategik di antara Tourism Malaysia dan rakan industri disifatkan sebagai satu pendekatan berimpak tinggi dalam memastikan aspirasi kempen ini dapat direalisasikan secara menyeluruh.
 
Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan VM2026 Countdown Festival telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk program promosi, karnival serta demonstrasi kebudayaan dan produk tempatan yang membawa pengalaman Malaysia secara langsung kepada pelawat di lokasi yang mudah diakses, mesra keluarga dan menjadi tumpuan orang ramai.
 
“Pendekatan ini mencerminkan semangat sebenar Surreal Malaysia dengan mempersembahkan wajah Malaysia yang autentik kepada dunia, di samping membuka peluang luas kepada usahawan tempatan, perusahaan industri kecil dan sederhana, penggiat seni dan budaya serta penggiat industri pelancongan untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran yang lebih luas,” tambah beliau.
 
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut mengalu-alukan kerjasama strategik seumpama ini memandangkan kejayaan VM2026 tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif sektor swasta, sokongan komuniti setempat serta komitmen berterusan semua pihak.
 
Majlis apresiasi ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama kreatif dan inovatif dalam industri pelancongan, sekali gus memperkayakan pengalaman pelawat dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan di peringkat serantau dan global.
 
Latar belakang Tourism Malaysia
 
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa.
 
Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menekankan komitmen Malaysia terhadap pembangunan pelancongan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs). Kempen ini bertujuan untuk mengetengahkan kepelbagaian tarikan semula jadi, kekayaan warisan budaya, serta tawaran pelancongan negara yang dinamik, di samping memacu pertumbuhan inklusif dan nilai jangka panjang buat komuniti setempat serta pemain industri.
 
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my serta akaun media sosial rasmi di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.
 
Sumber: Tourism Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Mohd Akbal Setia
Ketua Sekretariat Visit Malaysia 2026
Tel: +603 8891 8000
E-mel: akbalsetia@tourism.gov.my
 
Nama: Zurina Abdul Samad
Timbalan Pengarah Kanan
Sekretariat Visit Malaysia 2026
Tel: +603 8891 8702
E-mel: zurina@tourism.gov.my
 
Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8775
E-mel: norshariza@tourism.gov.my

--BERNAMA
Back to Home