Lebih 200 Peserta Sertai Bengkel Literasi Kewangan “My Money & Me” Putrajaya 2026

Released on: Monday, 09 Feb 2026 4:21PM

Table 

Kiri : Barisan Dif Kehormat dari MFPC dan JIM
Kanan : Sebahagian peserta yang mengikuti sesi di sepanjang berlangsungnya program


 
PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) telah menganjurkan Bengkel Literasi Kewangan “My Money & Me” di Dewan Serbaguna Jabatan Imigresen Malaysia, dengan penyertaan lebih 200 peserta termasuk kumpulan sasaran utama daripada pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan (pasukan beruniform).
 
Program ini dirasmikan oleh Mohd Radzuan bin Mohamed, Naib Presiden (Hubungan Luar & Publisiti) MFPC, dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertindak sebagai tuan rumah. Antara agensi lain yang terlibat termasuk, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
My Money & Me” merupakan inisiatif utama MFPC yang telah dilaksanakan sejak tahun 2008 dengan matlamat meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, penjawat awam dan kumpulan rentan termasuk golongan B40.
 
Mohd Radzuan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif bagi Persatuan Takaful Malaysia (MTA) turun memberi penekanan yang perancangan kewangan peribadi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan dalam mendepani cabaran kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi. Pengurusan kewangan yang berdisiplin mampu membantu individu mengawal perbelanjaan, mengelakkan hutang berlebihan serta membina simpanan untuk keperluan penting seperti pendidikan, perubatan dan persaraan.
 
Bengkel ini merupakan pembuka tirai kepada Siri Jelajah “My Money & Me” 2026, yang seterusnya akan diadakan di Pulau Pinang (25 April), Terengganu (13 Jun) dan berakhir di Sabah pada 22 Ogos 2026.
 
Para peserta mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu oleh penceramah daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), BIX Malaysia serta wakil penceramah MFPC. Antara topik yang dibincangkan termasuk asas perancangan kewangan, pengenalan kepada cukai, amaran penipuan kewangan, kepentingan perlindungan insurans dan penamaan, pengenalan kepada bon dan sukuk, serta skim amanah saham dan skim persaraan swasta.
 
Selain itu, bengkel ini turut dimeriahkan dengan reruai pameran daripada rakan kerjasama strategik seperti HASiL, BNM, SC, FIMM, LIAM, BIX Malaysia, CGS International Securities dan PERKESO, yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat secara terus.
 
MFPC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selaku tuan rumah, semua rakan strategik, para penceramah serta rakan pempamer atas komitmen dan sokongan dalam menjayakan program ini. 

Mengenai MFPC:

Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) ditubuhkan pada tahun 2004 merupakan badan profesional bagi perancangan kewangan di Malaysia. MFPC menawarkan kelayakan Registered Financial Planner (RFP) dan Shariah RFP yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebagai laluan prasyarat untuk mendapatkan Lesen Wakil Penasihat Kewangan (FAR) / Wakil Penasihat Kewangan Islam (IFAR) serta Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL).

MFPC memartabatkan piawaian profesionalisme dan etika industri. Melalui inisiatif nasional seperti Bengkel My Money & Me, pihak majlis mempromosikan literasi kewangan dan memperkasa rakyat Malaysia untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak, di samping memajukan kecemerlangan dan inovasi dalam profesion perancangan kewangan.

Laman web kami: www.mfpc.org.my


SUMBER: Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Mohd Farhan Azizan
Hubungan Luar, Penyelidikan dan Penerbitan
Majlis Perancangan Kewangan Malaysia
Tel: +6 019 277 3521
E-mel: farhan@mfpc.org.my  

 
--BERNAMA
Back to Home