MaTiC SEBAGAI ONE-STOP CENTRE KEMPEN MELAWAT MALAYSIA 2026: PAMER KEUNIKAN WARISAN, SENI DAN BUDAYA NEGARA

Released on: Monday, 09 Feb 2026 10:18AM


KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) kini berperanan sebagai One-Stop Centre menerusi penganjuran pameran dan persembahan kebudayaan yang menghimpunkan pelbagai agensi seni, budaya dan warisan negara dalam satu lokasi.
 
Inisiatif Tourism Malaysia dengan kerjasama MaTiC ini bertujuan memperkenalkan kekayaan warisan, seni visual, kraftangan, gastronomi tradisional serta persembahan kebudayaan Malaysia kepada pelawat tempatan dan antarabangsa. Usaha ini sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.
 
Antara pengisian utama yang diketengahkan dalam program ini adalah:
· Pengenalan pelbagai makanan warisan Malaysia oleh Jabatan Warisan Negara
· Pameran hasil kraftangan tempatan oleh Kraftangan Malaysia
· Pameran karya seni artis tempatan oleh Balai Seni Negara
· Persembahan kebudayaan tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Istana Budaya
· Persembahan alat muzik tradisional Malaysia oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
· Demonstrasi urutan tradisional oleh Persatuan Spa Malaysia (AMSPA)
· Pameran serta sewaan Busana Tradisional 
 
YB Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni & Budaya berkata ketika lawatan beliau ke One Stop Centre pada 28 Januari 2026 bahawa penubuhan One-Stop Centre sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) ini diharap dapat menjadi platform komprehensif yang membolehkan pelawat menikmati pengalaman menyeluruh merangkumi seni, budaya, warisan serta elemen kesejahteraan Malaysia dalam satu kunjungan, selari dengan aspirasi kempen tersebut.
 
Pameran dan aktiviti jualan dibuka kepada orang ramai setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang, manakala persembahan kebudayaan dijadualkan berlangsung setiap hari pada waktu yang telah ditetapkan. Orang ramai serta pelawat dijemput mengunjungi MaTiC bagi merasai sendiri keunikan warisan dan kekayaan kebudayaan Malaysia yang berwarna-warni. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang MaTiC di www.matic.gov.my

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa.
 
Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menekankan komitmen Malaysia terhadap pembangunan pelancongan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs). Kempen ini bertujuan untuk mengetengahkan kepelbagaian tarikan semula jadi, kekayaan warisan budaya, serta tawaran pelancongan negara yang dinamik, di samping memacu pertumbuhan inklusif dan nilai jangka panjang buat komuniti setempat serta pemain industri.
 
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my serta akaun media sosial rasmi di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.

SUMBER: Tourism Malaysia
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Mohamad Nawwar Faiq bin Mohamad Noh
Pemangku Pengarah 
Malaysia Tourism Centre (MaTiC)
Tel: +603 9235 4949
E-mel: nawwarfaiq@matic.gov.my

Nama: Norshariza binti Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8775
E-mel: norshariza@tourism.gov.my 

--BERNAMA
Back to Home