PENGGUNAAN KALIMAH “ALHAMDULILLAH” OLEH BUKAN ISLAM

Released on: Friday, 06 Feb 2026 10:36AM


KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Ungkapan seperti “Alhamdulillah” dan “Insha-Allah” pada hakikatnya merupakan lafaz keimanan yang merujuk kepada pengakuan dan pujian kepada Allah SWT. Dari sudut bahasa dan adat, ungkapan ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja.
 
Dalam masyarakat majmuk, hukum penggunaan kalimah ini oleh bukan Islam bergantung kepada konteks dan niat, selaras dengan kaedah fiqh: “Ukuran sesuatu lafaz adalah berdasarkan niat dan maknanya, bukan semata-mata lafaz.” Ia dibenarkan sekiranya digunakan dengan niat baik, beradab, dan menghormati makna asal, tetapi tidak dibenarkan jika digunakan untuk memperolok atau menyalahgunakan makna, kerana boleh merendahkan kesucian agama.
 
Menurut Yusuf al-Qardawi dalam Fiqh al-Da‘wah, Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama‘ al-Islami, lafaz pujian kepada Allah SWT oleh bukan Islam tidak diharamkan selagi ia tidak membawa maksud pengakuan akidah Islam atau menghina agama. Para ulama Islam secara ijmak bersetuju bahawa penilaian hukum perlu mengambil kira niat, maksud, dan konteks masyarakat.
 
IKIM menasihatkan umat Islam mengamalkan sikap husnuzon (bersangka baik) dan berhikmah dalam isu ini. Nabi Muhammad SAW memahami dan mendoakan hidayah bagi bukan Muslim, selagi ungkapan mereka tidak menghina atau menyalahi akidah. Masyarakat bukan Islam juga perlu dididik memahami makna sebenar lafaz-lafaz ketuhanan. Pendekatan ini bukan sahaja menjaga kesucian lafaz Allah, malah merupakan cara dakwah yang beradab, hikmah, dan harmoni dalam kehidupan bermasyarakat.
 
Sekian, terima kasih.

Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
6 Februari 2026 | 18 Syaaban 1447H

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 

UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA
Back to Home