SELANGOR AWALKAN SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PERINGKAT NEGERI SELANGOR 2026, SASAR 10,000 PENGUNJUNG DI PUCHONG

Released on: Monday, 26 Jan 2026 4:17PM

Table
Caption: From left: Yang Berbahagia Dato’ Hasan Azhari bin Haji Idris, Chief Executive Officer of Invest Selangor Berhad, YB Tuan Ng Sze Han, Selangor State Executive Councillor for Investment, Trade and mobility and YBrs Tuan Ismail bin Salim, Deputy Secretary of Majlis Bandaraya Subang Jaya  

SUBANG JAYA, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Invest Selangor Berhad dan Majlis Bandaraya Subang Jaya akan menganjurkan Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026 pada 7 Februari 2026 (Sabtu) bertempat di Taman Rekreasi Wawasan, Persiaran Wawasan, Taman Wawasan, Puchong, Selangor bermula pukul 5.00 petang hingga 10.00 malam.
 
Pemilihan lokasi ini bertujuan untuk membawa kemeriahan perayaan terus ke tengah-tengah komuniti dengan menyasarkan kehadiran seramai 10,000 orang pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
 
Penganjuran Awal Hormati Bulan Ramadan
Walaupun Tahun Baru Cina bakal disambut pada 17 Februari 2026, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif mengadakan sambutan ini lebih awal. Keputusan ini dibuat bagi mengelakkan pertindihan dengan permulaan bulan Ramadan yang dijangka berlangsung serentak dengan musim perayaan tersebut. Langkah ini memastikan kelancaran majlis jamuan rakyat dan menghormati umat Islam yang akan menjalani ibadah puasa, sekaligus membolehkan seluruh rakyat berbilang kaum serta kepimpinan negeri dapat meraikannya bersama-sama.
 
Simbolik Perpaduan: “Tradisi Campur Beras”
Kelainan yang bakal ditampilkan pada tahun ini, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor bersama dengan dif-dif kehormat akan ke meja upacara bagi menyertai tradisi ‘Campur Beras’ yang menggantikan tradisi menggaul ‘Yee Sang’.

Konsep “Campur Beras” ini dipilih sebagai simbol penyertaan masyarakat melalui amalan sumbangan dan pengagihan beras yang membawa maksud perkongsian rezeki, keberkatan serta pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
 
Tarikan Utama & Jamuan Makan
Antara pengisian menarik yang disediakan sepanjang majlis berlangsung adalah seperti:- 

Pra-Persembahan, 5.45petang – 6.45petang
i.  Persembahan Orkestra: Muzik Kebudayaan Cina & Medley Tahun Baru Cina;
ii. Persembahan Tarian “Jom mamak”;
iii. Persembahan Perkusi (Percussion);
iv. Persembahan Tarian Cina “Bunga”;
v.  Persembahan Tarian Jalanan (Street Dance);
vi. Persembahan Kumpulan Muzik (Live Band). 

Persembahan Utama, 8.30malam – 9.35malam
i.    Tarian Pembukaan “The Herd of Synergy”;
ii.    Persembahan Brass Band;
iii.    Persembahan Boneka & Tarian “Dunia Bawah Air”;
iv.    Persembahan Diabolo;
v.    Persembahan Tarian Singa;
vi.    Persembahan Koir.

Persembahan Cahaya Lampu
Para pengunjung akan disajikan dengan persembahan cahaya lampu di sekitar Taman Rekreasi Wawasan yang menggunakan teknologi projektor.
 
Agihan Angpau, Buah Limau & Beras
Tradisi pemberian ‘angpau’ sebanyak 1,500 keping khusus untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun serta pengagihan buah limau dan majlis ini turut melibatkan pemberian cenderamata istimewa berupa sebungkus kecil beras sebanyak 5,000 paket disediakan kepada pengunjung.
 
Jamuan Makan
Jamuan makan akan disediakan dalam dua sesi iaitu: 
i.  Sesi pertama : 5.45 petang untuk 3,000 orang pengunjung
ii. Sesi Kedua : 8.30 malam untuk 2,000 orang pengunjung. 

Pengangkutan Pintar
Pelbagai alternatif pengangkutan awam disediakan bagi kemudahan pengunjung dan disarankan untuk menggunakan:
i.   Perkhidmatan e-hailing seperti Grab;
ii.  Pengangkutan awam seperti Light Rail Transit (LRT) melalui Stesen Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri;
iii. Bas Smart Selangor;
iv. Kemudahan Van DRT (Demand-Responsive Transit), perkhidmatan van ini dikendalikan oleh pihak Prasarana di zon-zon perkhidmatan DRT sekitar Selangor termasuk Puchong terus ke tapak program. Pengunjung boleh memuat turun aplikasi "Rapid On Demand" untuk menyemak jadual dan lokasi van melalui Apple App Store atau Google Play Store

YB Tuan Ng Sze Han, EXCO Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Selangor dalam sidang media berkata, “Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Selangor bersama Invest Selangor dan MBSJ dalam penganjuran ini membuktikan komitmen kita untuk memastikan pembangunan ekonomi dan keharmonian sosial berjalan seiring. Di bawah tema Tahun Kuda, kita berhasrat agar Selangor terus memacu pertumbuhan yang inklusif untuk semua.”
 
Untuk maklumat pelaburan negeri Selangor, sila lawati www.investselangor.my 

SUMBER: Invest Selangor Berhad 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Puan Maryani
Tel: 016-699 7901
Emel: maryani@investselangor.my

--BERNAMA 
Back to Home