TalentCorp dan Yayasan Peneraju Perkukuh Kumpulan Bakat Bumiputera untuk Industri Digital dan Pertumbuhan Tinggi

Released on: Monday, 12 Jan 2026 3:51PM

Table
Kama Bistari Muhammad, Naib Presiden Eksekutif, Operasi, Yayasan Peneraju; Ibrahim Sani, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju; Edward Ling, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TalentCorp; serta Siva Kumeren A. Narayanan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, TalentCorp.


PETALING JAYA, 12 Jan (Bernama) --  Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Yayasan Peneraju hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat Bumiputera dalam industri digital dan sektor pertumbuhan tinggi, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong agenda pembangunan tenaga kerja nasional Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
 
MoU ini menandakan kerjasama strategik beberapa tahun antara kedua-dua pihak untuk membentuk, melaksana dan memperluaskan program pembangunan bakat yang dipacu industri, dengan tumpuan kepada sektor digital, kecerdasan buatan (AI), teknikal serta profesional. Kerjasama ini sejajar dengan keutamaan nasional termasuk Ekonomi MADANI serta inisiatif MyMahir–National AI Council for Industry (NAICI) yang diterajui oleh TalentCorp dan MyDigital.
 
Sebagai bukti keberkesanan pendekatan berasaskan hasil, kerjasama rintis antara TalentCorp dan Yayasan Peneraju pada tahun 2025 telah berjaya melatih dan menempatkan 159 peserta Bumiputera ke dalam peluang pekerjaan, dengan gaji permulaan mencecah RM5,000. Kejayaan ini menegaskan kepentingan model pembangunan bakat yang mengutamakan kebolehpasaran dan penempatan kerja sebenar, bukan sekadar latihan semata-mata.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan pembangunan bakat yang lebih berkualiti, relevan dan memberi impak nyata kepada pasaran buruh.
 
“Sebagai badan pemikir strategik KESUMA, peranan TalentCorp adalah untuk menghubungkan risikan kemahiran, penglibatan majikan dan pengaktifan tenaga kerja. Melalui platform seperti MyMahir, kami akan terus memastikan program pembangunan kemahiran selari dengan permintaan industri, khususnya dalam sektor digital dan berasaskan teknologi yang kritikal untuk daya saing Malaysia.”
 
Kerjasama ini turut melengkapi usaha terkini Yayasan Peneraju dalam memperluas akses kepada pembangunan kemahiran berimpak tinggi melalui pembiayaan tanpa faedah bagi peningkatan kemahiran AI dan teknologi, mencerminkan sokongan ekosistem yang lebih menyeluruh terhadap pembangunan bakat sedia masa depan.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, kerjasama ini memperkukuh mandat Yayasan Peneraju dalam membina keupayaan Bumiputera bagi menyokong penyertaan ekonomi jangka panjang.
 
“Fokus utama Yayasan Peneraju adalah untuk membangunkan dan menyalurkan 10,000 bakat Bumiputera ke dalam laluan kepimpinan dan sektor berpertumbuhan tinggi. Melalui kerjasama dengan TalentCorp, kami dapat menyatukan pembiayaan, pembangunan kemahiran dan penglibatan majikan dalam satu ekosistem bersepadu yang menterjemahkan latihan kepada kemajuan kerjaya yang mampan,” katanya.
 
Menerusi perjanjian MoU ini, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam penyelidikan, kepimpinan pemikiran dan risikan kemahiran, disokong oleh struktur tadbir urus bersama bagi memantau pelaksanaan program, penjejakan hasil serta penambahbaikan berterusan.

Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)

Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) ialah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang diamanahkan untuk melaksanakan strategi bakat nasional dan berperanan sebagai badan pemikir strategik kepada KESUMA. Melalui dasar berasaskan data dan perkongsian strategik, TalentCorp memberi tumpuan kepada pengoptimuman bakat Malaysia, menarik kepakaran global, serta membentuk tenaga kerja masa depan sejajar dengan aspirasi transformasi ekonomi negara.
 
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp, layari
www.talentcorp.com.my ataupun ikuti @TalentCorpMsia di media sosial LinkedIn, Twitter, Facebook dan Instagram.

Dikeluarkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad
 
SUMBER: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Ahmad Anis
Tel: 019-390 5987
E-mel: anis.kamil@talentcorp.com.my 

Nama: Hajar Umira
Tel: 018-947 3006
E-mel: umira.zaki@talentcorp.com.my 
 
--BERNAMA

 

 
Back to Home