PELAKSANAAN PENGUATKUASAAN AKTA KAWALAN PRODUK MEROKOK DEMI KESIHATAN AWAM 2024 [AKTA 852]

Released on: Thursday, 08 Jan 2026 4:36PM



KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] telah dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 dengan pelaksanaan penuh bermula 1 Oktober 2025. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited dalam menguatkuasakan Akta 852 dengan melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) bagi memperkukuh aktiviti penguatkuasaan.

Operasi ini memberi fokus utama kepada aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis produk merokok, bertujuan untuk melindungi generasi muda daripada bahaya produk merokok, termasuk rokok elektronik dan vape yang semakin berleluasa. 

Sehingga 30 November 2025, sebanyak 25,643 aktiviti penguatkuasaan telah dijalankan dengan 496,247 premis telah diperiksa di seluruh negara. Hasil penguatkuasaan adalah seperti berikut:
i. 160,839 kompaun yang dikeluarkan di lapangan bagi kesalahan boleh dikompaun dengan pecahan seperti berikut;
   a) 67 bagi kesalahan Orang Belum Dewasa (OBD) membeli produk merokok;
   b) 137,568 bagi kesalahan merokok di kawasan larangan;
   c) 4,886 bagi kesalahan OBD merokok; dan
   d) 18,318 kesalahan bagi kesalahan melibatkan tuan punya bangunan/penghuni.
ii. 2,352 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak boleh dikompaun  

Manakala bagi tindakan pendakwaan di mahkamah, sebanyak 58 kes telah selesai dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM394,700.00. Bagi kes hukuman terkini, Mahkamah Majistret Putrajaya telah mensabitkan kesalahan kepada seorang pempengaruh Shuib atau nama sebenarnya Shamira bin Mohamad Shuib atas kesalahan di bawah Seksyen 9(1) Akta 852 mempromosikan produk merokok melalui Dol’s Podcast di pautan YouTube. Pelanggaran Akta 852 ini telah dikesan oleh pihak KKM pada 22 Oktober 2024 yang lalu. Keputusan penghakiman bagi kesalahan ini adalah hukuman denda RM10,000.00 atau 1 tahun penjara jika gagal membayar denda. 

Adalah dimaklumkan bahawa, tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh KKM. Semua pihak perlu bekerjasama mematuhi Akta 852 demi untuk mencegah penyakit dan seterusnya mencapai tahap kesihatan yang optimum. 

Dikeluarkan Oleh:
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Effaizah binti Shahidan 
Pegawai Perhubungan Awam 
Unit Komunikasi Korporat 
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8892 4449 / 012-3417379 
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA
Back to Home