TII Abu Dhabi Melancarkan Falcon-H1 Arabic, Menetapkan Model AI Bahasa Arab Terunggul di Dunia

Released on: Wednesday, 07 Jan 2026 12:03PM

Table
TII Abu Dhabi Melancarkan Falcon-H1 Arabic, Menetapkan Model AI Bahasa Arab Terunggul di Dunia (Grafik: AETOSWire) 

Berasaskan seni bina hibrid baharu, model ini menawarkan ketepatan yang lebih tinggi walaupun dijalankan dengan saiz parameter yang lebih kecil.

Pelancaran ini menggariskan usaha UAE untuk bersaing dengan peneraju AI global dalam pembangunan model bahasa berprestasi tinggi.

ABU DHABI, Emiriah Arab Bersatu, 7 Jan (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Institut Inovasi Teknologi (Technology Innovation Institute, TII), cabang penyelidikan gunaan di bawah Advanced Technology Research Council (ATRC) Abu Dhabi, telah mengumumkan Falcon-H1 Arabic, sebuah model bahasa besar yang dibangunkan baharu berasaskan seni bina hibrid Mamba–Transformer. Menandakan perubahan menyeluruh daripada versi terdahulu yang berasaskan Transformer sepenuhnya, model baharu ini menempatkan dirinya sebagai sistem berprestasi tertinggi dalam Open Arabic LLM Leaderboard (OALL).

Pencapaian ini meletakkan Falcon-H1 Arabic sebagai model AI bahasa Arab terunggul yang tersedia ketika ini, mengatasi model yang beberapa kali ganda lebih besar sambil menawarkan ketepatan bertaraf terkini, pengendalian konteks yang unggul, serta perwakilan linguistik yang mantap.

Yang Amat Berhormat Faisal al Bannai, Penasihat kepada Presiden UAE dan Setiausaha Agung Advanced Technology Research Council, berkata, “Falcon-H1 Arabic mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memperkukuh kedudukan UAE sebagai hab global bagi teknologi termaju dan AI yang bertanggungjawab. Dengan membangunkan model yang menyokong keperluan linguistik dan budaya serantau, kami memungkinkan inovasi yang mudah diakses, relevan, dan memberi impak dalam masyarakat kita. Pencapaian ini membuktikan kedalaman bakat dan kepakaran penyelidikan dalam TII.”

Berdasarkan sambutan positif terhadap model Falcon-Arabic yang dilancarkan awal tahun ini, yang menunjukkan keperluan jelas komuniti terhadap LLM Bahasa Arab berkualiti tinggi, TII telah mempertingkatkan kerjanya dengan keluarga model baharu Falcon-H1 Arabic. Tersedia dalam saiz parameter 3B, 7B, dan 34B, model ini direka untuk memenuhi pelbagai keperluan infrastruktur dan kes penggunaan. Falcon-H1 Arabic memperkenalkan penambahbaikan dari segi kualiti data, liputan dialek, kestabilan konteks panjang, dan penaakulan matematik, membolehkan pemahaman Bahasa Arab yang lebih tepat, boleh dipercayai, dan sensitif konteks bagi aplikasi dunia sebenar.

Dr. Najwa Aaraj, Ketua Pegawai Eksekutif TII, berkata, “Pembangunan Falcon-H1 Arabic dibina atas kerja asas bertahun-tahun dalam AI Bahasa Arab dan memberi respons terus kepada keperluan komuniti kami, termasuk pembangun dan perniagaan. Dengan mempertingkatkan seni bina, kualiti data, dan penaakulan konteks panjang, kami mencipta pemudahcara yang membuka kemungkinan baharu dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, tadbir urus, perusahaan, dan banyak lagi, semuanya dalam Bahasa Arab. Model ini mewakili langkah penting dalam misi kami untuk menyediakan AI bertaraf dunia yang memberi manfaat kepada rantau ini dan menyumbang kepada kemajuan global.”

Keputusan Penanda Aras

Dalam penarafan OALL yang menilai model berdasarkan pelbagai tugas pemahaman dan penaakulan Bahasa Arab - Falcon-H1 Arabic menunjukkan kepimpinan prestasi yang jelas:

· Model 3B mencatat purata skor 61.87%, 10 mata lebih tinggi daripada pesaing 4B terkemuka, seperti Phi-4 Mini keluaran Microsoft.
· Model 7B mencatat purata skor 71.47%, mengatasi semua model bersaiz ~10B, termasuk Fanar-1-9B dari Qatar dan HUMAIN ALLaM 7B dari Arab Saudi.
· Model 34B mencatat skor 75.36%, mengatasi sistem bersaiz 70B+ parameter, termasuk Qwen2.5 72B dari China dan Llama-3.3 70B daripada META.

Selain OALL, model Falcon-H1 Arabic juga mencatatkan prestasi cemerlang pada penanda aras yang lebih khusus, termasuk, (i) 3LM, untuk penaakulan dalam bidang STEM, (ii) ArabCulture, untuk pemahaman budaya dan konteks, dan (iii) AraDice (untuk penguasaan dialek).

Secara keseluruhan, keputusan ini menandakan detik terobosan bagi AI Bahasa Arab. Falcon-H1 Arabic bukan sahaja mengatasi model yang beberapa kali ganda lebih besar, dalam penanda aras umum dan khusus, malah menunjukkan tahap kepelbagaian linguistik, keupayaan penaakulan, dan kecekapan yang menetapkan penanda aras baharu dalam bidang ini. Ini menjadikan Falcon-H1 Arabic sebagai model bahasa Arab paling berkeupayaan dan serbaguna yang pernah dibangunkan setakat ini.

Dr. Hakim Hacid, Ketua Penyelidik di Pusat Penyelidikan Kecerdasan Buatan dan Digital TII (AIDRC), berkata, “Model ini mencerminkan fokus kami untuk membangunkan AI Bahasa Arab yang bukan sahaja lebih maju, tetapi juga benar-benar berguna dalam situasi dunia sebenar. Dengan meningkatkan kecekapan, kedalaman pemahaman, dan liputan bahasa, kami membolehkan sistem AI menyokong institusi, pembangun, dan komuniti di seluruh rantau dengan lebih baik.”

Model ini juga memperluas panjang konteks secara dramatik, dengan tetingkap sehingga 256K token, membolehkan model memproses sejumlah besar maklumat dalam satu interaksi. Dalam amalan, ini bermakna pengguna boleh menganalisis dokumen undang-undang yang panjang, nota perubatan, kertas akademik, atau pangkalan pengetahuan perusahaan tanpa kehilangan konteks atau kesinambungan, satu keupayaan yang sebelum ini tidak mungkin dilakukan pada skala sebegini.

Model AI Falcon TII telah mengekalkan kedudukan nombor satu dalam penanda aras serantau dan global sejak 2023, dengan Falcon-H1 Arabic kini mendahului Open Arabic LLM Leaderboard merentasi semua saiz model. Keputusan ini membuktikan keupayaan TII untuk membangunkan kemampuan AI berdaulat yang bersaing di peringkat global tertinggi, sambil memajukan kepimpinan Abu Dhabi dan UAE dalam penyelidikan dan inovasi AI Bahasa Arab.

Model baharu ini kini boleh diakses melalui playground melalui antara muka awam TII di: https://chat.falconllm.tii.ae.

Sumber: AETOSWire

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada: https://www.businesswire.com/news/home/20260105343577/en

Contacts

Jinan Warrayat
jinan.warrayat@tii.ae
 
Sumber: Technology Innovation Institute

--BERNAMA 
Back to Home