MEK MULUNG "AFROT": JKKN TERUSKAN USAHA PELESTARIAN MEK MULUNG MELALUI PEMENTASAN "AFROT"

Released on: Wednesday, 31 Dec 2025 9:24AM

 
Table
Saksikan sebuah pementasan teater tradisional Mek Mulung: AFROT yang bakal memukau penonton pada 9 dan 10 Januari 2026. 
Pementasan pada kali ini dilakonkan oleh barisan pelakon berbakat besar seperti Asmidar, Saifulwazien, Anaqi, Norliza, serta ramai lagi pendukung seni pentas yang berkaliber.


TANJUNG MALIM, 31 Dis (Bernama) -- Pementasan Teater Tradisional Mek Mulung “Afrot”, sebuah warisan Kedah yang sarat dengan tipu daya kuasa, pengorbanan dan semangat menuntut keadilan. Kisah “Afrot” bermula dengan keinginan seorang raja untuk mempunyai pewaris takhta, namun perkahwinannya dengan 11 puteri tidak berhasil sehinggalah bertemu dengan seorang gadis kampung bernama Bongsu. Melalui jalan cerita yang tegang dan penuh aksi, karya ini menyelami makna keberanian dan kesetiaan, di mana Putera Afrot akhirnya memulakan perjalanan yang berliku untuk menuntut bela, menghadapi pelbagai konflik demi ayahandanya.

Pementasan Teater Tradisional Mek Mulung “Afrot” merupakan usaha berterusan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB Kedah) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menyemarakkan warisan tidak ketara negara selain memberi ruang kepada penggiat seni teater tempatan untuk terus berkarya.  Mek Mulung  “Afrot”  bakal dipentaskan pada 9 dan 10 Januari 2026 bertempat di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan dijangka menjanjikan sebuah pengalaman pementasan yang menyentuh jiwa di samping mengangkat kesenian tradisional ini.

Menggabungkan elemen tradisi, mitos, dan nilai kemanusiaan yang mendalam, “Afrot” mengajak penonton merenung makna sebenar perjuangan dalam mempertahankan hak dan mencari keadilan. Kisahnya mencerminkan realiti pengorbanan yang dilakukan demi cinta dan takhta, namun tetap teguh memperjuangkan kebenaran. Di penghujung cerita, penonton akan menyaksikan bahawa kemenangan bukan hanya pada takhta yang diperolehi semula, tetapi pada semangat kesetiaan yang mengalir dalam darah Putera Afrot.
 
“Pementasan ini merupakan salah satu usaha pembangunan dan pelestarian kesenian Mek Mulung yang telah tersenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera oleh UNESCO pada 5 Disember 2023. Seiring dengan pengiktirafan tersebut, JKKN bersama AKRAB Kedah turut mengambil inisiatif menghasilkan skrip baharu Mek Mulung yang diadaptasi daripada cerita-cerita Mek Mulung”. Ulas Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataannya hari ini.
 
Teater ini dipentaskan sebagai sebahagian daripada program Penyemarakan Karya Teater 2025 oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web JKKN.

Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200  Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my 
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & You Tube: @mysenibudaya 

SUMBER: Persatuan Legasi Cinta Seni

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Naurah Daria Janiur
Unit Komunikasi Korporat
JKKN Ibu Pejabat
Tel: 03-2697 2184
E-mel: doria@jkkn.gov.my

Nama: Nurfatin Fatini Norazlan
Unit Komunikasi Korporat
JKKN Ibu Pejabat
Tel: 03-2697 2192 
E-mel: nurfatin@jkkn.gov.my

--BERNAMA
Back to Home