BAI‘AH DALAM ISLAM: KEFAHAMAN YANG SEIMBANG DAN BERLANDASKAN PRINSIP SYARIAH

Released on: Tuesday, 30 Dec 2025 3:16PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Islam mengiktiraf bai‘ah sebagai amalan yang berasaskan sunnah Rasulullah SAW. Bai‘ah berfungsi sebagai ikrar kesetiaan dan komitmen untuk mengukuhkan perpaduan, memelihara keharmonian dan menyusun kehidupan bermasyarakat berteraskan nilai agama, sebagaimana ditunjukkan melalui Bai‘ah Aqabah dan Bai‘ah Ridhwan. Para ulama menjelaskan bahawa bai‘ah mutlak hanya khusus kepada Rasulullah SAW, manakala bai‘ah selepas kewafatan Baginda terikat dengan maqasid syariah, keadilan dan kemaslahatan umum. Prinsip ini sejajar dengan hadis sahih yang menegaskan bahawa ketaatan tidak dibenarkan dalam perkara maksiat kepada Allah, justeru bai‘ah tidak boleh difahami sebagai ketaatan tanpa batas.

IKIM berpandangan bahawa kekeliruan terhadap konsep bai‘ah timbul apabila  difahami di luar kerangka keilmuan dan tradisi Islam muktabar. Dalam beberapa keadaan, bai‘ah boleh disalah tafsir sehingga dikaitkan dengan tuntutan ketaatan melampaui batas syariah termasuk apabila bai’ah itu berpotensi memberi kesan terhadap orang lain tanpa asas syarak dan tidak selari dengan ajaran Islam.

Justeru itu, perlu ditegaskan bahawa bai‘ah yang sah menurut Islam mestilah dilakukan secara sukarela, berasaskan keadilan dan tidak membawa kepada kemudaratan. Islam menggalakkan hubungan kepimpinan dan ketaatan yang berteraskan tanggungjawab, nasihat dan saling menegur, bukannya secara paksaan.

IKIM menyeru masyarakat merujuk kepada ulama berautoriti dan institusi agama yang sah untuk memahami konsep penting Islam, termasuk bai‘ah supaya dapat membezakan amalan yang sahih daripada tafsiran yang menyimpang, serta memelihara keharmonian dan kestabilan negara. Islam menekankan kesetiaan yang berlandaskan ilmu, kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan, membentuk masyarakat matang, berakhlak, serta mampu menghadapi perbezaan pandangan secara berhemah dan bertanggungjawab.

Sekian. Terima kasih.

Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
30 Disember 2025 | 10 Rejab 1447H
 

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA
Back to Home