PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) -- Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), salah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), “Kitar Semula Pukat Lama” di Jeti Sepang Besar, Bagan Lalang, sebagai usaha memperkasakan nelayan tempatan di samping menyokong keselamatan laut dan sumber makanan secara mampan.
Program ini telah dilaksanakan pada 20 Disember 2025 dengan syarikat Bio-based Accelerator (BBA), Nuplas Solutions Sdn Bhd (Nuplas) selaku rakan strategik, dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor serta Persatuan Nelayan Kawasan Sepang dan Kuala Langat.
Menerusi inisiatif ini, para nelayan di kawasan Sepang dan Kuala Langat mengumpulkan jaring dan pukat terpakai ke dalam tong khas “NuNet” yang disediakan oleh Nuplas di Jeti Sepang Besar. Nelayan yang menyertai program ini bakal menerima insentif tunai sehingga RM1.50 bagi setiap kilogram jaring dan pukat terpakai yang dikumpulkan, dengan setiap tong ‘NuNet’ mampu menampung sehingga 600 kilogram jaring dan pukat.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Encik Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, jaring dan pukat yang dikumpul akan diproses oleh Nuplas menggunakan teknologi berasaskan bio untuk ditukar menjadi bahan mentah berkualiti tinggi bagi kegunaan industri, termasuk pembuatan kasut, jersi, komponen dalaman kenderaan dan peralatan elektrik.
Menurut beliau, program ini turut membantu mengurangkan insiden pukat hantu, pencemaran laut serta ancaman terhadap ekosistem marin yang boleh menjejaskan sumber makanan laut negara.
“Program Kitar Semula Pukat Lama ini penting kerana nelayan membantu menangani masalah jaring dan pukat yang dibuang ke laut di Malaysia. Menurut WWF, setiap tahun lebih satu juta tan peralatan menangkap ikan seperti jaring dan pukat memasuki laut. Ini bukan sahaja membahayakan kesihatan manusia, malah turut menyebabkan kematian ikan dan haiwan laut lain, lalu berpotensi menyumbang kepada kekurangan bekalan makanan negara,” kata beliau. Ucapannya telah disampaikan oleh Naib Presiden Kanan, Bahagian Perkhidmatan Korporat Bioeconomy Corporation, Encik Wan Hasnul Nadzrin Wan Sulong.
Encik Mohd Khairul turut menegaskan bahawa di samping menyokong keselamatan makanan negara, program ini membuka peluang pendapatan tambahan kepada nelayan serta menggalakkan pelupusan jaring dan pukat secara lebih bertanggungjawab. Pada masa sama, penglibatan nelayan dalam program ini menyumbang kepada penghasilan produk baharu dan menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran serta gaya hidup mampan yang ditekankan oleh kerajaan.
Seramai 60 nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan Sepang dan sebahagian dari Kuala Langat telah hadir menjayakan program ini, yang berpotensi memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 385 nelayan di kedua-dua kawasan tersebut.
Melalui Bioeconomy Corporation, program CSR ini diperkenalkan buat pertama kali di Sepang, sementara Nuplas telah pun melaksanakan program pengumpulan jaring dan pukat terpakai bersama 10 komuniti nelayan di Kedah, Pulau Pinang, dan Pahang.
Di majlis pelaksanaan program CSR itu, para nelayan turut membawa jaring dan pukat terpakai untuk diserahkan. Pihak Nuplas juga telah mengadakan sesi taklimat dan memberi tunjuk ajar kepada para nelayan mengenai kaedah pengasingan serta pembersihan jaring dan pukat terpakai sebelum dikumpulkan.
Maklum balas yang diterima daripada nelayan adalah amat positif, dengan beberapa nelayan mencadangkan agar lebih banyak tong “NuNet” ditempatkan, khususnya di kawasan Kuala Langat, bagi memudahkan penglibatan berterusan dalam program ini. Inisiatif ini merupakan usaha Bioeconomy Corporation dalam menyokong MOSTI untuk membudayakan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat, selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang menggalakkan ekonomi kitaran serta Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030 bagi memantapkan ekosistem STI negara.
Mengenai Bioeconomy Corporation Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) merupakan peneraju pembangunan ekonomi negara dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio, di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Bioeconomy Corporation menyokong komuniti perniagaan, akademik dan saintifik dengan menyediakan khidmat sokongan, nasihat serta pembangunan ekosistem yang merangkumi aspek perniagaan, akses pasaran, pelaburan, penyelidikan, pembangunan (R&D) dan pengkomersialan, pembangunan modal insan, bantuan kewangan, rangka kerja perundangan dan kawal selia, dengan sokongan daripada kerajaan.
Antara program utamanya termasuklah Status BioNexus, iaitu pengiktirafan rasmi kerajaan kepada syarikat bioteknologi yang berkelayakan, sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai khidmat sokongan dan insentif pertumbuhan perniagaan. Bioeconomy Corporation juga menawarkan program Bio-based Accelerator, yang bertujuan membantu syarikat berasaskan bio yang sedang berkembang untuk mempercepatkan pertumbuhan dan mengkomersialkan inovasi mereka. Untuk maklumat lanjut, sila layari
www.bioeconomycorporation.my SUMBER: Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Bioeconomy CorporationNama: Nur Akmar Yusoff
Eksekutif Kanan,
Komunikasi Strategik
Malaysian Bioeconomy Development Corporation
Tel: +6012 690 6108
E-mel: akmar.yusoff@bioeconomycorporation.my
--BERNAMA