KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- IKIM ingin memberi pencerahan berhubung isu penggunaan dekorasi berkaitan perayaan bukan Islam di premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) susulan perbincangan dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat.
Penilaian kehalalan sesuatu makanan dan premis adalah berdasarkan kriteria utama yang telah ditetapkan, antaranya penggunaan bahan yang halal, pengendalian yang bersih dan suci serta bebas daripada sebarang unsur najis dan pencemaran yang diharamkan oleh syarak. Dalam konteks ini, elemen dekorasi bersifat umum dan tidak melibatkan unsur keagamaan, ritual atau sembahan tidak termasuk dalam faktor yang menjejaskan status halal sesuatu premis.
Perkara ini selaras dengan garis panduan SPHM serta penjelasan pihak berkuasa berwibawa, termasuk keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2023 yang menyatakan bahawa tiada larangan ke atas pemegang SPHM untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam, selagi mana ia tidak memaparkan unsur keagamaan, ritual ibadah atau penggunaan logo halal dan SPHM secara tidak wajar.
Dalam kerangka masyarakat majmuk di Malaysia, pendekatan Fiqh at-Ta‘ayush wajar difahami dengan menghormati kepelbagaian budaya dan agama tanpa menjejaskan prinsip dan piawaian Islam yang telah ditetapkan. Pendekatan ini juga selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keharmonian dan kestabilan hubungan antara agama dan kaum di negara ini.
Sehubungan itu, IKIM menyeru semua pihak agar memahami isu ini secara menyeluruh, merujuk kepada autoriti yang sah serta mengelakkan polemik yang boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan perpaduan masyarakat.
Sekian. Terima kasih.
Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
20 Disember 2025 | 1 Rejab 1447H
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA