PIC Perkukuh Peluang Pendidikan Berkualiti untuk Komuniti Pengerang

Released on: Thursday, 18 Dec 2025 12:55PM

Table
Murid-murid sekolah rendah menerima Penghargaan Prestasi PLaN terhadap peningkatan pencapaian dalam literasi dan numerasi melalui pelaksanaan program tersebut.


PENGERANG, Johor, 18 Dis (Bernama) -- Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pada 9 Disember melancarkan program PIC Literasi dan Numerasi (PLaN), sebagai usaha memperkasakan ilmu di kalangan anak-anak masyarakat setempat melalui pendekatan sistematik dalam penguasaan asas literasi dan numerasi.

PLaN adalah hasil kerjasama strategik antara PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) dan Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB). Program ini turut menerima sokongan daripada Majlis Perbandaran Pengerang melalui Yayasan Makmur Pengerang, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan pendidikan di Pengerang. 

Usaha bersama ini bukan sahaja akan memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan di peringkat akar umbi, malah turut menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperluas akses kepada pendidikan berkualiti, inklusif dan mampan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, merangkap ADUN Tanjung Surat, Yang Berhormat Tuan Aznan Tamin, merasmikan majlis pelancaran tersebut, disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Zulkurnain Abdul Rahman dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif PRPC, Kamal Bahrin Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif, PT2SB, Aqeel Hussain.

Program ini telah bermula sejak 2024 dan dijangka dilaksanakan sehingga 2026. Dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan program ini, diangggarkan seramai 1,300 orang murid sekolah rendah daripada 10 buah sekolah di sekitar Pengerang akan menerima manfaat, hasil kerjasama erat dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang melalui Yayasan Makmur Pengerang, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Selain itu, seramai 110 orang sukarelawan dari PIC turut terlibat memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan program ini. 

Pelaksanaan program tersebut telah berjaya meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu Bahasa Inggeris, dan Matematik, selaras dengan penguasaan asas 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul.

Dalam ucapannya, Tuan Aznan Tamin berkata, "Inisiatif seperti PLaN memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pendidikan negara yang menekankan akses saksama kepada pendidikan berkualiti, serta memperkukuh asas pembelajaran murid. Ini selari dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk melahirkan generasi celik ilmu, berkemahiran dan berdaya saing.”

Kamal Bahrin menjelaskan bahawa PRPC sedang menerajui inisiatif yang selaras dengan Agenda Kelestarian PETRONAS, khususnya melalui usaha yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan pembinaan modal insan di Pengerang. 

Program ini bukan sahaja menyokong pendidikan asas, tetapi juga membina modal insan muda yang berpotensi untuk menyokong keperluan tenaga kerja negara. Ia merupakan usaha jangka panjang kami untuk memperkukuh tenaga kerja tempatan dan memastikan kesinambungan sumber manusia berkemahiran bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan keperluan industri masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai komitmen bersama ini, Aqeel menegaskan kepentingan kesinambungan usaha tersebut dalam memastikan manfaat program terus diperoleh oleh masyarakat setempat. Beliau berkata, “Kami percaya bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang progresif dan mampu berdaya saing. Melalui pelaksanaan program ini, kami terus berusaha memperkukuh jalinan dengan komuniti setempat demi membina masa depan yang lebih cerah bersama mereka.”

Di bawah pelan induk #UntukPengerang oleh PIC, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di bawah program Memperkasakan Ilmu PETRONAS bagi meningkatkan peluang pendidikan berkualiti. Antaranya, program Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) yang mencatatkan peningkatan minat dan pengambilan pelajar dalam bidang tersebut, serta program VISTA i-Plus yang akan membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Selain itu, pembangunan komuniti turut diperkukuh melalui program Memacu Kehidupan PETRONAS dengan kerjasama enam koperasi bagi menyokong pembangunan keusahawanan dan peningkatan kemahiran. Di samping itu, program Menyemai Masa Hadapan PETRONAS juga telah dilaksanakan melalui inisiatif pemuliharaan hutan paya bakau di Pulau Tanjung Surat dan di Sungai Santi, Pengerang yang turut membuka peluang penjanaan sumber pendapatan kepada masyarakat tempatan. 

Mengenai Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)

Sebagai rakan tenaga dan penyelesaian global, PETRONAS didorong oleh tujuannya untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan untuk masa depan yang mampan. Dengan kehadiran di lebih 100 negara, Kumpulan PETRONAS terus memperluas portfolionya merangkumi penyelesaian tenaga konvensional dan lebih bersih, serta pelbagai produk bahan api, pelincir dan petrokimia. 
 
Dalam memastikan amalan mampan di seluruh operasinya, PETRONAS komited untuk mencapai hasil yang adil dan saksama dalam peralihan ke arah masa depan karbon rendah.
 
Mengenai PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation 
 
PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) ialah Pengurus Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), yang diberi mandat untuk memastikan kompleks mega sentiasa kondusif untuk para pengendali dan pekerja. 
 
Sebagai Kompleks Petrokimia Serantau, PIC merupakan pemangkin perubahan bagi PETRONAS – sebuah kompleks petrokimia bertaraf global yang berdaya saing dan memiliki keunikan tersendiri kerana lokasinya yang strategik, ekosistem yang produktif serta pusat penyelesaian pelaburan sehenti. 
 
Dibangunkan selaras dengan Agenda Kelestarian PETRONAS, PIC mengutamakan usaha memaksimumkan nilai daripada sumber terhad, manakala kemudahan di PIC direka bagi memastikan kompleks ini mampu berdiri sendiri serta beroperasi dengan kebolehpercayaan tinggi.
 
PRPC ialah anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).   
 
Mengenai Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB)
 
Pengerang Terminals (Two) Sdn. Bhd. (PT2SB) ialah sebuah terminal industri khusus bagi Kompleks Bersepadu Pengerang, dengan kapasiti penyimpanan sekitar 1.5 juta meter padu untuk produk-produk seperti minyak mentah, petroleum bertapis, petrokimia dan gas.
 
PT2SB merupakan usaha sama antara PETRONAS, Dialog, VOPAK dan Permodalan Darul Takzim. Terminal ini dilengkapi dengan kemudahan jeti air dalam yang mampu mengendalikan kapal tangki bersaiz besar (VLCC - Very Large Crude Carrier).
 
Dikeluarkan oleh,
Pengurusan MediaSaluran dan Perhubungan Media
Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan

PETRONAS

SUMBER: PETRONAS


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
PETRONAS
Nama: Esha Lim Hwee Nee
Tel: +6012 412 0117
E-mel: eshalim.hweenee@petronas.com

Nama: Nabil Basaruddin 
Tel: +6012 424 9750 
E-mel: nabil.basaruddin@petronas.com

Nama: Hana Nazsulaeeqa Harun
Tel: +6010 455 3378
E-mel: hananazsulaeeqa.haru@petronas.com.my
 
PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd 
Nama: Muhammad M Supian
Tel: +6019 740 4086 
E-mel: muhammadsupian@petronas.com
 
Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB)
Nama: Jefry Rizal
Tel: +6010-220 9952
E-mel: jefry.rizal@pt2sb.co

--BERNAMA

 
Back to Home