KUALA NERUS, 17 Dis (Bernama) -- Seramai 43 pelatih telah menerima sijil tamat latihan pada Majlis Penutup Oil & Gas Wakalah TVET Programme (OGWTP) Kumpulan 3/2025 yang berlangsung di kampus Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di Batu Rakit.
Majlis meraikan kejayaan para pelatih yang telah menamatkan empat bulan latihan di INSTEP, diikuti dua bulan penempatan industri bersama syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas Terengganu yang beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Ts. Azhar Ahmad berkata, usaha memperkukuh kemahiran teknikal dan meningkatkan kebolehpasaran pelatih tempatan terus menjadi keutamaan institusi melalui program ini.
“Program ini mencerminkan sokongan terhadap transformasi sektor tenaga negara, bukan sahaja melalui teknologi dan inovasi, malah dengan membangunkan tenaga kerja mahir yang diperlukan bagi masa depan tenaga bersepadu. Dengan kandungan latihan yang relevan dengan keperluan industri semasa dan akan datang, kami memastikan para pelatih lulusan INSTEP bukan sahaja memiliki kebolehpasaran hari ini, tetapi juga bersedia menghadapi evolusi sektor tenaga dalam dekad akan datang,” katanya.
Majlis turut disempurnakan dengan penyampaian sijil tamat latihan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman.
Turut hadir, ADUN Batu Rakit, Encik Mohd Shafizi Ismail, serta Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC), Encik Aminuddin Omar.
Ditubuhkan pada tahun 2024, OGWTP merupakan program latihan TVET khusus untuk golongan asnaf Terengganu. Sejak pelaksanaannya, program ini terus mencatat perkembangan yang sangat positif dengan penyertaan seramai 164 pelatih setakat ini.
Daripada jumlah tersebut, 71 daripada 74 pelatih Kumpulan 1 dan 2 telah berjaya memperoleh pekerjaan atau melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal di institusi pengajian tinggi.
Kejayaan program ini sejajar dengan komitmen untuk memperkukuhkan ekosistem tenaga Malaysia secara menyeluruh. Cabaran sektor tenaga di masa hadapan memerlukan tenaga kerja tempatan yang dilengkapi dengan kemahiran teknikal yang berkembang seiring dengan keperluan industri. Dengan kadar penempatan pekerjaan melebihi 95 peratus, OGWTP membuktikan bahawa pelaburan dalam pembangunan modal insan tempatan bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi strategi perniagaan yang kukuh.
Para pelatih dibahagikan kepada dua disiplin utama, iatu Mekanikal serta Elektrikal dan Instrumentasi (E&I), yang mengikuti tujuh modul teknikal utama serta latihan pensijilan industri termasuk Instrument & Cabling Certification bagi disiplin E&I, Rigging and Slinging Certification daripada National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) bagi disiplin Mekanikal, selain modul wajib industri seperti Tropical Basic Offshore Safety Induction and Emergency Training (T-BOSIET), Oil and Gas Safety Passport (OGSP) dan Authorised Entrant and Standby Person (AESP).
Pembiayaan program ini disokong melalui inisiatif Zakat Wakalah, di mana sebahagian zakat kakitangan PETRONAS yang disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) digunakan secara strategik untuk membantu golongan asnaf, bukan melalui bantuan sementara, tetapi dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal yang membuka laluan kerjaya jangka panjang, mencerminkan falsafah mencipta nilai berkongsi yang mampan. Dana tersebut kemudiannya dikembalikan kepada Dana As-Syakirin sebagai pemegang amanah untuk mengurus agihan, sekali gus membiayai pelaksanaan program latihan TVET yang dikendalikan oleh INSTEP.
OGWTP merupakan contoh konkrit permulaan transformasi – di tangan individu yang memperoleh kemahiran, peluang, dan keyakinan untuk membina masa depan sendiri. Ia adalah pelaburan dalam tenaga kerja tempatan yang akan memacu bukan sahaja kejayaan PETRONAS, tetapi daya saing ekonomi negeri dan negara dalam era tenaga baharu.
Program ini turut diperkukuh melalui kerjasama erat antara INSTEP, Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM), Dana As-Syakirin serta 18 rakan strategik industri di bawah Jawatankuasa Kerjasama Industri OGWTP. Antara syarikat penyedia perkhidmatan dari Terengganu yang terlibat ialah EPIC Berhad, UBF Maintenance Sdn Bhd, Elektro Serve (M) Sdn Bhd dan Tenaga-tech (M) Sdn Bhd.
Issued by
Media Management, Channels & Media Relations
Group Strategic Relations & Communications
PETRONAS
SUMBER: PETRONAS
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
--BERNAMA