Abu Dhabi Melancarkan Kluster FIDA untuk Membentuk Generasi Seterusnya dalam Penyelesaian Kewangan dan Pelaburan

Released on: Friday, 12 Dec 2025 5:14PM

ABU DHABI, Emiriah Arab Bersatu, 12 Dis (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Abu Dhabi telah melancarkan kluster FinTech, Insurans, Aset Digital dan Alternatif (FIDA) untuk mempercepatkan pembangunan penyelesaian kewangan dan pelaburan generasi baharu serta mengembangkan peranan emiriah itu sebagai hab modal global.

Diterajui oleh Jabatan Pembangunan Ekonomi Abu Dhabi (ADDED) dan Pejabat Pelaburan Abu Dhabi (ADIO), kluster ini merupakan tonggak utama agenda kepelbagaian ekonomi jangka panjang Abu Dhabi. Menjelang 2045, FIDA dijangka memberi sumbangan tambahan sebanyak USD 15.2 bilion kepada KDNK langsung Abu Dhabi, mewujudkan 8,000 pekerjaan berkemahiran dan menarik sekurang-kurangnya USD 4.6 bilion pelaburan, seterusnya mengukuhkan kedudukan emiriah itu sebagai destinasi bagi sistem kewangan yang inovatif dan berdaya tahan.

FIDA menyatukan bidang pertumbuhan tinggi yang menggabungkan teknologi, peraturan dan modal, termasuk fintech, aset digital, insurans, insurans semula serta pelaburan alternatif. Usaha ini bertujuan memposisikan Abu Dhabi sebagai bidang kuasa pilihan bagi firma global yang ingin mereka bentuk, menguji dan memperluaskan skala produk kewangan baharu dalam persekitaran kawal selia yang stabil dan berpandangan jauh.

Y.M. Ahmed Jasim Al Zaabi, Pengerusi ADDED, berkata : “Strategi ekonomi Abu Dhabi dibina berlandaskan perancangan berwawasan jangka panjang serta prinsip bahawa modal, bakat dan inovasi mesti bergerak melalui infrastruktur bertaraf dunia. Kluster FIDA merupakan satu pelaburan berstruktur untuk masa hadapan. Dengan menyelaraskan usaha antara pengawal selia, modal berdaulat, institusi kewangan dan para inovator, FIDA mengukuhkan asas kewangan generasi seterusnya dan memperteguhkan kedudukan global Abu Dhabi sebagai Capital of Capital.”

Y.M. Badr Al-Olama, Ketua Pengarah ADIO, berkata: “FIDA menandakan perubahan besar dalam peranan Abu Dhabi dalam kewangan global. Kami memiliki seni bina sebuah pusat kewangan global di mana inovasi digital, transformasi fintech dan teknologi generasi seterusnya bergabung dengan modal jangka panjang serta peraturan berpandangan jauh sejak dari awal lagi. Dengan menghimpunkan pelabur berdaulat, pengawal selia, institusi global dan inovator teknologi dalam satu kluster yang bersatu dan saling berhubung, Abu Dhabi menjadi pilihan utama bagi mereka yang membangunkan masa depan aset digital, penyelesaian kewangan berasaskan AI dan platform fintech terkini.”

Tonggak program bersepadu kluster ini direka untuk mewujudkan ekosistem kewangan yang komprehensif dan berdaya saing di peringkat global. FIDA akan memajukan infrastruktur aset digital dan platform fintech bertaraf institusi yang memenuhi piawaian antarabangsa, mengembangkan kapasiti insurans dan insurans semula untuk memenuhi keperluan pengurusan risiko yang sofistikated, serta menubuhkan rangka simpanan jangka panjang pengguna yang dilindungi bagi mengukuhkan daya tahan kewangan. Ia juga akan memperluaskan akses kepada saluran pembiayaan yang pelbagai untuk perusahaan kecil dan sederhana, termasuk pinjaman alternatif, hutang modal teroka dan penyelesaian modal pertumbuhan.

Kewangan lestari disepadukan di seluruh kluster, dengan penekanan kepada pembangunan instrumen kewangan hijau dan peralihan yang selaras dengan komitmen sifar bersih Abu Dhabi. FIDA juga akan mengembangkan landskap aset alternatif emiriah ini, mewujudkan persekitaran yang menyokong ekuiti swasta, modal teroka dan instrumen hartanah yang menyasarkan pelabur institusi global.

Kluster ini menawarkan infrastruktur kewangan yang disesuaikan untuk sektor keutamaan termasuk inovasi makanan dan air melalui kluster AgriFood Growth and Water Abundance (AGWA), sains hayat melalui kluster Health, Endurance, Longevity and Medicine (HELM) dan mobiliti melalui kluster Smart and Autonomous Vehicles Industry (SAVI). Ini memastikan syarikat inovatif di seluruh ekonomi dapat mengakses pembiayaan yang sesuai, mengurus risiko dan berkembang dengan berkesan.

Kedudukan Abu Dhabi sebagai “Capital of Capital” disokong oleh USD 1.8 trilion dalam dana kekayaan berdaulat, rangka kerja kawal selia bertaraf dunia dan rangkaian luas perjanjian cukai berganda, perlindungan pelaburan serta perdagangan. Firma yang beroperasi dalam FIDA mendapat manfaat daripada akses cekap bersandarkan perjanjian, kepada pasaran global utama di Eropah, Amerika Utara dan Asia. Gabungan kedalaman modal, kepastian kawal selia dan keterhubungan antarabangsa ini meletakkan Abu Dhabi pada kedudukan yang strategik untuk memimpin dalam fintech, insurans semula dan aset alternatif.

FIDA menyatukan ekosistem rakan kongsi terselaras yang merangkumi bidang kawal selia, pembiayaan, infrastruktur, inovasi dan pembangunan bakat. Penyeliaan kawal selia diterajui oleh Kementerian Kewangan, Bank Pusat Emiriah Arab Bersatu, ADGM dan Pihak Berkuasa Sekuriti dan Komoditi, yang akan bekerjasama untuk memastikan tadbir urus kewangan yang bersatu dan bersedia menghadapi masa depan.

Rakan kongsi pembiayaan, termasuk dana kekayaan berdaulat, pejabat keluarga dan Khalifa Fund for Enterprise Development, akan memberikan akses kepada modal pada pelbagai peringkat pertumbuhan. Institusi infrastruktur yang merangkumi pencen, pembayaran, kredit dan insurans akan menyokong penyampaian produk dan perkhidmatan kewangan bertaraf global.

Rangkaian inovasi dan R&D yang diterajui oleh Hub71, UAE University, Khalifa University of Science and Technology, Emirates Institute of Finance dan ADGM Academy akan menumpukan kepada usaha menterjemahkan penyelidikan menjadi teknologi kewangan yang boleh diterima pasaran. Rangkaian pembangunan bakat akan memajukan kemahiran dalam sains aktuari, kejuruteraan fintech, kewangan kuantitatif dan disiplin berkaitan, seterusnya mengukuhkan lagi peranan Abu Dhabi sebagai hab penyelesaian kewangan yang inovatif.

FIDA memperkukuhkan kedudukan Abu Dhabi sebagai pusat kewangan global generasi baharu dan memajukan aspirasi emiriah ini untuk menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang membangunkan masa depan kewangan dan pengurusan pelaburan.

Sumber: AETOSWire

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.
 
Contacts

Neil Luis
00971505422125

Sumber: Abu Dhabi Investment Office

--BERNAMA 
Back to Home