TEATER MUZIKAL DUZUNG

Released on: Tuesday, 11 Nov 2025 1:04PM

KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah terus memperkukuh ekosistem seni persembahan negara dengan pementasan Teater Muzikal Duzung – The Origin of Hampo’ Rungus pada 7-9 November 2025 jam 8.00 malam bertempat di Auditorium JKKN Sabah.

Majlis pementasan turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Puan Marina binti Abu Bakar, Pengarah JKKN Sabah, yang mewakili YBrs. Tuan Haji Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN, serta wakil-wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF).

Karya Duzung menyingkap legenda Puteri Duzung, makhluk laut mitos dalam kosmologi masyarakat Rungus yang melambangkan keseimbangan antara alam manusia dan semesta. Naratif ini berpusat pada Puteri Yanang, makhluk laut yang menjejakkan kaki ke daratan dan jatuh cinta dengan pemuda manusia bernama Rinutad selepas ekornya dicuri.

Pertentangan antara dunia laut dan daratan mencapai kemuncak apabila Puteri Yanang diculik oleh Putera Akarulis, tunang asalnya dari alam laut. Namun, kisah ini berakhir dengan penyatuan dua dunia yang mencerminkan keharmonian serta hubungan simbiotik antara manusia dan alam menjadi lambang falsafah budaya Rungus yang menekankan keseimbangan, kelestarian dan cinta sejagat.

Teater ini disutradarai oleh Dr. Sharifuddin Zainal dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan ditulis oleh Dr. Esterlina Moo Chim Len Lazarus gabungan estetika moden dengan akar tradisi menjadikan Teater Muzikal Duzung bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi juga satu wacana budaya yang menghidupkan kembali warisan lisan dan mitos pribumi Sabah dalam konteks seni pentas moden.

Mengetengahkan Artis Budaya JKKN Sabah, Ryna Norzita Raimon sebagai Puteri Yanang, pementasan ini turut menampilkan barisan pelakon muda tempatan seperti Tommy sebagai Putera Akarulis, Andre Doni sebagai Rinutad, dan Fifiana Christin sebagai Permaisuri Lumilis. Menambah warna kepada pementasan ini ialah penampilan istimewa pempengaruh media sosial terkenal Sabah, Sakinah, yang membawakan watak Ahat 

Barisan produksi pula terdiri daripada  Syafiq Salleh (Penolong Pengarah), Weena (Sinografer), serta pasukan kreatif seperti jurulatih lakon Ismaliza Ishak dan Mazrona, koreografer Rey Redzuan, dan pengarah muzik Shaari Ramlee.

Pasukan produksi turut menerima dukungan tenaga profesional dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berperanan dalam aspek reka bentuk busana, tatarias, reka set dan audiovisual.

Sebagai karya budaya, Duzung tidak hanya mempersembahkan mitos, tetapi menafsir makna kewujudan tentang kasih, keseimbangan, dan keindahan alam yang menjadi akar spiritual masyarakat Rungus. Dalam konteks akademik, ia melambangkan kesinambungan tradisi lisan ke dalam ruang teater moden, membentuk suatu continuum budaya yang mempertautkan generasi lama dan baharu melalui bahasa seni.

Melalui produksi ini, Stage Production dan JKKN Sabah sekali lagi membuktikan bahawa seni bukan sekadar ekspresi, tetapi epistemologi kebangsaan yang membina tamadun dan peradaban bangsa.

SUMBER: Persatuan Legasi Cinta Seni

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 

Nama: Hassanal Redzuan
Pegawai Komunikasi Korporat JKKN Sabah
Tel:  +60 11-1856 7575
Emel: jkknsabah@gmail.com

--BERNAMA 
Back to Home