Tragedi Berebut Harta Keluarga Cetus Kesedaran Baharu: IKIM Serah Resolusi Sifar Harta Beku Islam 2030 kepada YBTM

Released on: Thursday, 06 Nov 2025 9:07AM


Table
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan (tengah); Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof bin Hj. Othman; Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil; Prof. Dato’ Dr. Aznan bin Hasan, Ahli Lembaga Pengarah, Maybank Islamic Berhad; bersama peserta persidangan di Hotel Tenera Bangi.


BANGI, 6 Nov (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menyerahkan Resolusi Pelan Tindakan Sifar Harta Beku Islam 2030 kepada YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sempena Persidangan Pengurusan Harta Keluarga Islam 2025 bertemakan “Memacu Transformasi Perwarisan Islam ke Arah Sifar Harta Beku” di Hotel Tenera, Bangi.
 
Persidangan ini disertai lebih 200 peserta secara hibrid daripada pelbagai latar belakang termasuk pakar syariah, undang-undang, ekonomi, ahli akademik dan pengamal industri kewangan Islam bagi membincangkan isu harta beku umat Islam yang dianggarkan melebihi RM61 bilion. Perbincangan turut menyorot bagaimana kelemahan perancangan harta dan pertikaian keluarga bukan sahaja menjejaskan ekonomi, malah telah membawa kepada tragedi sosial termasuk kes pembunuhan keluarga baru-baru ini akibat perebutan pusaka.
 
Majlis perasmian disempurnakan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman, Timbalan Pengerusi IKIM, manakala Prof. Sr. Dr. Wan Zahari Wan Yusoff (UTHM) dalam ucaptamanya mengupas secara kritikal isu kelewatan pentadbiran pusaka dan keperluan pelan transformasi nasional pewarisan Islam. Antara sorotan menarik ialah pembentangan Dr. Rahmawati Mohd Yusof (UiTM) yang mendedahkan nilai sebenar harta beku kekal umat Islam melebihi RM61 bilion, diikuti Dr. Muhammad Hisyam Mohamad (IKIM) yang memperkenalkan wakaf zurri sebagai instrumen strategik baharu dalam pemeliharaan harta keluarga Islam. Perbincangan turut diperkaya dengan pandangan Tn. Hj. Baharuddin Aziz (JKPTG) mengenai penambahbaikan sistem pentadbiran pusaka dan Prof. Dato’ Dr. Ahmad Hidayat Buang (UM) yang menegaskan keperluan menggubal Akta Harta Pusaka Islam yang lebih komprehensif dan bersepadu.
 
Forum kemuncak bertajuk “Pewarisan Islam ke Arah Sifar Harta Beku” menampilkan tokoh-tokoh terkemuka seperti Prof. Dato’ Dr. Aznan Hasan (IIiBF UIAM), Prof. Emeritus Dr. Jamal Othman (Akademi Profesor Malaysia) dan En. Shamsuddin Kadir (SK Training Academy) yang membincangkan isu pewarisan aset digital, peranan baitulmal negeri serta keperluan memperkasa literasi kewangan dan kesedaran umat terhadap tanggungjawab pewarisan Islam.
 
Hasil daripada perbincangan dan forum tersebut, IKIM menyerahkan Resolusi Pelan Tindakan Sifar Harta Beku Islam 2030 kepada kerajaan, yang menekankan reformasi dasar dan perundangan, pembangunan infrastruktur data dan pendigitalan harta Islam, kempen nasional kesedaran “Sifar Harta Beku”, inovasi dalam instrumen pewarisan patuh syariah seperti hibah, wasiat, amanah dan wakaf zurri, serta penubuhan mekanisme pemantauan dan pelaporan nasional.
 
Dalam ucapan penutupnya, YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menegaskan bahawa isu harta pusaka bukan lagi perkara kecil atau teknikal, tetapi krisis nasional yang memerlukan tindakan bersepadu antara kerajaan, institusi Islam dan masyarakat. Beliau menyambut baik inisiatif IKIM ini dan menyatakan komitmen kerajaan untuk memperkukuh sistem pewarisan Islam yang lebih efisien, telus dan berkat.
 
Persidangan ini menandakan permulaan penting ke arah Malaysia Sifar Harta Beku Islam 2030, melalui kerjasama strategik antara institusi Islam, agensi kerajaan dan masyarakat demi memastikan kekayaan umat Islam dimanfaatkan secara adil, sah dan lestari untuk generasi akan datang.
 
Sekian, terima kasih.
 
5 November 2025
 
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah bt. Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-402 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA
Back to Home