PELANDUK TERAKHIR: KISAH YANG HIDUP DALAM JIWA SENIMAN, BUKAN SEKADAR DI PENTAS

Released on: Thursday, 30 Oct 2025 5:06PM

Table
Sebuah persembahan teater oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) sempena Karya Teater 2025 
 
KUANTAN, 30 Okt (Bernama) -- Teater “Pelanduk Terakhir” mengangkat kisah perjuangan seorang seniman yang mempertahankan warisan tarian tradisi Pahang di tengah gelombang prasangka dan penolakan. Melalui jalan cerita yang sarat emosi dan nilai kemanusiaan, karya ini menyelami makna keberanian, keikhlasan dan penerimaan diri. Ia bukan sekadar persembahan seni di pentas, tetapi simbol kemenangan jiwa — tentang bagaimana kebenaran dan keindahan budaya akhirnya menemukan damai dalam diri manusia.
 
Teater arahan  dan skrip  oleh Suezanna MS, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Dato’ Fizz Fairuz, Liza Abdullah, Rina Nawi serta penampilan istimewa Razak Ahmad. “Pelanduk Terakhir” bakal dipersembahkan pada 31 Oktober hingga 2 November 2025 di Auditorium Sudirman Kompleks JKKN Pahang, menjanjikan sebuah pementasan yang menyentuh jiwa dan mengangkat martabat seni warisan bangsa.
 
Menggabungkan elemen tradisi, keagamaan dan nilai kemanusiaan, “Pelanduk Terakhir” mengajak penonton merenung makna sebenar perjuangan dalam mempertahankan seni yang sering disalah tafsir. Kisahnya mencerminkan realiti seniman yang berdepan fitnah, namun tetap teguh demi cinta terhadap warisan. Di penghujung cerita, penonton dibawa menyaksikan bahawa kemenangan bukan hanya pada warisan yang dihidupkan semula, tetapi pada jiwa yang akhirnya berdamai dengan kebenaran.
 
 "Pelanduk Terakhir" bukan sekadar kisah tentang seorang manusia yang dianggap berbeza, tetapi tentang keberanian untuk menerima diri sendiri dan mempertahankan makna kemanusiaan sebenar dalam dunia yang semakin hilang nilai kasih.”-Suezanna M.S
 
“Pelanduk Terakhir" adalah naskah yang dijangka menjadi sorotan khalayak teater Pahang tahun ini. Pementasan ini adalah usaha berterusan JKKN menyemarakkan kembali teater di negeri Pahang dan memberi ruang kepada penggiat seni teater tempatan untuk terus berkarya - Mohd. Rizal Ismail, Pengarah JKKN Pahang..
 
Teater ini diipentaskan oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) di bawah program Penyemarakan Karya Teater 2025 melalui dana Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kebudayaan (JPBK) yang dikendalikan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)
 
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web JKKN.

SUMBER: Persatuan Legasi Cinta Seni 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang
Tel: 09-517 8466  Faks: 09-517 9466
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my 
E-mel: pahang@jkkn.gov.my

--BERNAMA 
Back to Home