Warga kerja Generali Malaysia meluangkan sehari berganding bahu membersihkan pantai dan menanam benih pokok bakau sebagai usaha kolektif mereka melindungi ekosistem pesisir pantai dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih bersih dan hijau demi masyarakat sejagat.KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Generali Malaysia bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) telah menganjurkan inisiatif alam sekitar yang penuh bermakna di Pantai Bagan Lalang pada 18 Oktober 2025. Program ini menghimpunkan warga kerja Generali untuk meluangkan sehari menjalankan aktiviti berimpak tinggi yang tertumpu pada pemulihan dan perlindungan ekosistem pesisir pantai Malaysia.
Program ini dimulakan dengan aktiviti pembersihan pantai yang bertujuan untuk mengurangkan sisa buangan berbahaya seperti serpihan plastik, puntung rokok dan bahan pencemar lain yang boleh mengancam hidupan marin serta kesejahteraan ekosistem pantai. Seramai 65 sukarelawan berkerjasama untuk mengutip dan melupuskan sisa dengan cara yang betul bagi melindungi biodiversiti marin daripada bahaya terjerut atau tertelan, meningkatkan kualiti air serta mengurangkan risiko kesihatan bagi hidupan laut dan pengunjung pantai. Lebih 220 kilogram sampah berjaya dikutip sepanjang aktiviti tersebut.
Selain daripada aktiviti pembersihan pantai, para peserta juga melakukan aktiviti menanam benih pokok bakau. Langkah pemuliharaan ini penting bagi memastikan anak pokok membesar dalam persekitaran yang terkawal sebelum dipindahkan ke kawasan pesisir pantai bagi memastikan kadar kelangsungan hidup yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih sihat. Sebanyak 250 biji benih pokok bakau telah ditanam, . Aktiviti ini menyumbang kepada daya ketahanan dan biodiversiti kawasan pesisir pantai untuk jangka panjang kerana pokok bakau memainkan peranan penting sebagai benteng semula jadi melawan hakisan pantai, ribut dan peningkatan paras air laut. Selain itu, pokok bakau berupaya menyerap karbon sehingga lima kali lebih berkesan berbanding hutan daratan serta menjadi habitat yang penting untuk ikan, krustasea dan pelbagai spesies burung.
“Di Generali Malaysia, kami percaya bahawa kelestarian bukan sahaja tanggungjawab korporat, malah komitmen bersama demi generasi akan datang. Dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia, kami dapat mengambil langkah yang bermakna dalam melindungi alam sekitar serta menggalakkan pekerja kami menjadi ejen perubahan. Usaha kami di Pantai Bagan Lalang membuktikan bahawa impak yang besar dapat dicapai apabila kita berganding bahu dalam mengejar satu matlamat,” kata Fabrice Benard, Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad dan Pengurus Besar bagi Entiti Generali di Malaysia.
Inisiatif ini merupakan tahun kedua berturut-turut Generali Malaysia bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dalam aktiviti perlindungan alam sekitar. Pada tahun 2024, Generali Malaysia dan MNS telah berganding bahu dalam satu program penanaman pokok bakau dan bekerjasama dalam acara Generali Malaysia Run 2024 bagi meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar. Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Generali Malaysia yang meluas terhadap kelestarian dan penglibatan komuniti, meneruskan inisiatif pembersihan pantai dan kolaborasi berkisarkan alam sekitar yang telah dilaksanakan sebelum ini.
SUMBER: Generali Insurance Malaysia Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Sheena Ho
E-mel: sheena.ho@generali.com.my
Nama: Samantha David
E-mel: samantha.david@generali.com.my
--BERNAMA