Kerjasama Strategik Bioeconomy Corporation–UMK Perkasa Komuniti Bio-Inovatif Kelantan

Released on: Wednesday, 15 Oct 2025 10:13AM

Table

(Kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak bertukar memorandum persefahaman dengan (kiri) Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham bin Abdullah, disaksikan oleh (belakang, kiri) Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, semasa majlis penutup Festival of Ideas 2025 Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di UMK Bachok pada 14 Oktober. Turut bersama mereka adalah (belakang, kanan) Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UMK, Prof. Dr. Mohammad bin Ismail. 


BACHOK, 15 Okt (Bernama) -- Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi memacu kerjasama strategik dalam membangunkan bakat dan usahawan bio, memacu pengkomersialan penyelidikan dan inovasi serta pembangunan komuniti melalui adaptasi bioteknologi serta penerokaan potensi sumber berasaskan bio, khususnya di negeri Kelantan pada 14 Oktober 2025.
 
MoU ini bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu dan sumber akademik termasuk penerbitan hasil penyelidikan, pembangunan platform teknologi, penganjuran program komuniti dan kesedaran masyarakat, serta pembentukan model perniagaan alternatif yang dapat meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar. Inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan universiti, industri, komuniti dan kerajaan, selaras dengan pendekatan kerjasama quintuple helix yang digariskan dalam Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2.0.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, berkata, “Kerjasama ini merupakan satu komitmen untuk memperkasa potensi industri bioteknologi dan berasaskan bio di peringkat akar umbi, khususnya di Kelantan. Bersama UMK, kami ingin memastikan hasil penyelidikan, perkongsian pengetahuan dan inovasi dalam industri ini dapat diterjemah kepada peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti setempat. Mereka dapat meneroka peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam sektor-sektor inovasi berpotensi besar di negeri ini, seperti bioteknologi pertanian, penternakan berasaskan bio, pengurusan sisa, produk herba dan kesihatan semula jadi.”
 
Beliau menambah bahawa MoU ini selari dengan tumpuan Bajet 2026 terhadap pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan inovasi teknologi yang bernilai tinggi, yang menyokong usaha kerajaan mengukuhkan daya saing ekonomi negara serta memperluas peluang pembangunan kepada rakyat.
 
Sementara itu, Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham bin Abdullah menjelaskan bahawa MoU ini merupakan platform penting bagi pihak universiti untuk memperkukuh peranan dalam memperkasa pembangunan komuniti melalui inovasi. “UMK sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa ilmu mesti membawa manfaat kepada masyarakat. Dengan kemahiran akademik dan penyelidikan kami serta kepakaran Bioeconomy Corporation dalam memacu industri bioteknologi dan berasaskan bio, kita dapat menangani isu semasa dalam bidang ini, termasuklah cabaran pengkomersialan, kekurangan tenaga mahir berpengetahuan tinggi serta tahap kesedaran awam,” katanya.
 
Beliau turut berkata bahawa inisiatif ini akan memperluas peluang kepada penyelidik dan pelajar universiti untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pembangunan industri dan komuniti melalui kursus pendek, program komuniti serta kerjasama dalam R&D yang memberi pendedahan secara praktikal di lapangan.
 
Majlis pertukaran MoU itu telah disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, semasa majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan CRI 2025 & STEM 2025 di Festival of Ideas 2025 Peringkat Negeri Kelantan (FOI@Kelantan) yang diadakan di UMK Bachok hari ini. Festival ini menghimpunkan pemikiran, idea, inovasi dan perbincangan intelektual dalam satu platform terbuka dan inklusif, bagi memperkasa ekosistem inovasi tempatan.

Mengenai Bioeconomy Corporation
 
Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) merupakan peneraju pembangunan ekonomi negara dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio, di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
 
Bioeconomy Corporation menyokong komuniti perniagaan, akademik dan saintifik dengan menyediakan khidmat sokongan, nasihat serta pembangunan ekosistem yang merangkumi aspek perniagaan, akses pasaran, pelaburan, penyelidikan, pembangunan (R&D) dan pengkomersialan, pembangunan modal insan, bantuan kewangan, rangka kerja perundangan dan kawal selia, dengan sokongan daripada kerajaan.
 
Antara program utamanya termasuklah Status BioNexus, iaitu pengiktirafan rasmi kerajaan kepada syarikat bioteknologi yang berkelayakan, sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai khidmat sokongan dan insentif pertumbuhan perniagaan. Bioeconomy Corporation juga menawarkan program Bio-based Accelerator, yang bertujuan membantu syarikat berasaskan bio yang sedang berkembang untuk mempercepatkan pertumbuhan dan mengkomersialkan inovasi mereka.
 
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bioeconomycorporation.my

SUMBER: Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bioeconomy Corporation
Nama: Nur Akmar Yusoff
Eksekutif Kanan
Komunikasi Strategik
Malaysian Bioeconomy Development Corporation
Emel: akmar.yusoff@bioeconomycorporation.my 

--BERNAMA
Back to Home