SD Guthrie Tawar Lebih 900 Peluang Kerja Melalui Program Perintegrasian Semula Banduan

Released on: Tuesday, 14 Oct 2025 4:48PM

• Kerjasama Syarikat dengan Jabatan Penjara Malaysia memberi peluang kepada banduan membina hidup baru sejak 2019. 

PETALING JAYA, 14 Okt (Bernama) -- SD Guthrie Berhad (Guthrie) mengumumkan 948 penempatan kerja di ladang-ladang sawitnya di seluruh negara di bawah program perintegrasian semula banduan. Inisiatif tersebut juga merupakan yang terbesar yang pernah dilaksanakan oleh sebuah syarikat perladangan di Malaysia sejak Jabatan Penjara Malaysia (JPM) memperkenalkan program Latihan Pintar Korporat (Corporate Smart Internship atau ‘CSI’) pada 2016.  

Program CSI membantu banduan yang dibebaskan awal untuk berintegrasi semula ke dalam masyarakat dengan memberi mereka latihan sambil bekerja dan penempatan kerja melalui kerjasama dengan sektor swasta. Kerjasama Guthrie dengan JPM, yang bermula sejak 2019, menyokong perintegrasian semula dua kumpulan individu ke dalam masyarakat: Banduan Dikategorikan sebagai ‘Orang Diparol’ (ODP) dan ‘Orang Bebas Berlesen’ (OBB). Guthrie menyasarkan untuk mengambil lebih 450 individu daripada setiap kategori, bagi mengisi kekosongan kerja sedia ada.

Pada tahun 2025, 131 orang telah menyertai tenaga kerja Guthrie di bawah program tersebut, menjadikan jumlah bilangan terkini peserta program yang berkerja dengan Guthrie sebanyak 152 orang. Sejak 2019, Guthrie telah berjaya merekrut 761 orang peserta, di mana 15 orang daripadanya telah diserap masuk menjadi pekerja tetap dalam operasi huluan syarikat tersebut.  

Peserta program tersebut di tempatkan di 93 estet Guthrie di negeri-negeri Perak, Kedah, Selangor, Pahang, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, dan Sarawak.

"Ini bukanlah sekadar program yang menyediakan pekerjaan; ia adalah peluang untuk peserta membina semula kehidupan, dan memulihkan harapan dan maruah mereka, sambil menyumbang kepada kehidupan masyarakat yang lebih selamat dan inklusif," kata Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha. "Kami berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif yang memberi peluang kedua dalam hidup, yang saya percaya merupakan hak asasi setiap insan. Sejarah masa lalu bukanlah ukuran nilai seseorang individu tetapi jauh lebih penting lagi adalah sumbangan yang boleh mereka lakukan untuk membina masa depan yang lebih bermakna. Guthrie berbangga membantu para peserta program ini untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat," tambahnya lagi.  

Selain penempatan kerja untuk tempoh yang panjang, Guthrie turut menawarkan para peserta program latihan sambil kerja, bimbingan dan penyeliaan berstruktur. Peserta program juga memperoleh pengalaman pekerjaan sebenar sambil menerima faedah yang setaraf dengan pekerja lain di Guthrie. Ini termasuk gaji minimum seperti yang ditetapkan oleh Perintah Gaji Minimum Kebangsaan 2022 dan faedah lain di bawah Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (MAPA)/ Perjanjian Perundingan Kolektif 2019 Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW), seperti perumahan percuma, bekalan air, subsidi elektrik, serta waktu kerja dan gaji lebih masa yang ditetapkan di bawah Akta Pekerjaan. 

Dengan pengalaman kerja sebenar dan faedah pekerjaan yang diterima, ini dijangka akan membantu dalam mengurangkan lagi ulang laku jenayah di kalangan bekas banduan.  

Guthrie merupakan salah satu daripada sebilangan kecil syarikat perladangan di Malaysia yang melaksanakan program tersebut dalam skala yang besar, sekaligus mengukuhkan kepimpinan syarikat tersebut dalam amalan pekerjaan yang bertanggungjawab dan usaha-usaha rehabilitasi nasional. Guthrie menggalakkan syarikat lain untuk turut serta melibatkan diri dalam inisiatif ini demi membantu membina masyarakat yang lebih inklusif dan positif kepada usaha-usaha pemulihan.

Mengenai SD Guthrie Berhad  

SD Guthrie Berhad (Guthrie) ialah syarikat global terkemuka dan bertanggungjawab dalam sektor pengeluaran Minyak Sawit Disahkan Mampan (CSPO). Dengan tenaga kerja melebihi 80,000 orang, kami memenuhi keperluan pengguna dan pelbagai jenama makanan di 86 buah negara. Minyak sawit yang kami hasilkan adalah bebas daripada penebangan hutan dan boleh dikesan sumber asalnya. 

Dengan sejarah penubuhan melangkaui 200 tahun, kami kini merupakan peneraju inovasi yang membangunkan generasi baharu robotik serta penyelesaian berasaskan teknologi bagi sektor minyak sawit dan perniagaan tani. Kami turut memenuhi permintaan bagi tenaga boleh diperbaharu melalui pembangunan projek solar dan taman perindustrian berprestasi tinggi, sambil memanfaatkan kepimpinan kami dalam kelestarian untuk membina lebih banyak kejayaan serta perniagaan yang siap siaga menghadapi masa depan.  

Kelestarian adalah teras kepada segala yang kami lakukan. Sebagai syarikat minyak sawit pertama dunia dengan sasaran pengurangan gas rumah hijau bersih-sifar yang diluluskan oleh Science Based Targets initiative (SBTi), kami melangkaui dan meningkatkan penanda aras sedia ada melalui rangka kerja kelestarian Beyond Zero, demi memacu perubahan yang bermakna dalam sektor industri kami. 

Guthrie mengendalikan 234 ladang sawit di Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea, dan Kepulauan Solomon, yang disokong oleh 11 kilang penapisan dengan jumlah kapasiti tahunan sebanyak empat juta tan metrik. Kami menghasilkan 12% daripada jumlah keseluruhan CSPO di dunia. Kami juga menghasilkan dan menjual pelbagai derivatif minyak sawit seperti oleokimia, biodiesel, dan nutraseutikal, serta giat membangun dan mengkomersialkan benih sawit berprestasi tinggi dan lebih berdaya tahan terhadap cabaran perubahan iklim.

Disenaraikan di Bursa Malaysia (KLSE: SDG) dengan modal pasaran sebanyak RM36.93 bilion (USD8.73 bilion) setakat 13 Oktober 2025, Guthrie adalah salah satu syarikat strategik milik Permodalan Nasional Berhad, syarikat amanah saham terbesar di Malaysia dan pemegang saham utama kami. Kami turut disokong oleh beberapa institusi pelaburan besar yang lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.sdguthrie.com.

SUMBER: SD Guthrie Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Hafiz Noor
Ketua, Komunikasi Strategik
Tel: +6019-424 8283
Emel: hafiznoor@sdguthrie.com

Nama: Azneal Azam
Ketua, Konten dan Saluran Penyiaran
Tel: +6016-337 6160
Emel: azneal.azam@sdguthrie.com

--BERNAMA 
Back to Home