KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil maklum perbahasan yang timbul mengenai amalan menghidangkan minuman beralkohol (arak) dalam majlis rasmi kerajaan. Selaras dengan kerangka asas negara, IKIM ingin menegaskan bahawa pendirian untuk tidak menghidangkan arak dalam acara rasmi adalah satu dasar yang wajar dipertahankan kerana selaras dengan Perlembagaan, prinsip pentadbiran, nilai Islam dan keharmonian sejagat.
Asas pendirian ini terletak pada Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Selaras dengan prinsip Rukun Negara ketiga, Keluhuran Perlembagaan adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menjunjung Perkara 3(1) yang memperuntukkan "Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan". Peruntukan ini meletakkan satu kerangka nilai dan identiti bagi negara. Justeru amalan rasmi kerajaan wajar mencerminkannya. Falsafah Rukun Negara turut menjadi panduan, di mana prinsip pertama, Kepercayaan kepada Tuhan dan prinsip kelima, Kesopanan dan Kesusilaan menuntut agar penganjuran majlis rasmi sentiasa memelihara tatasusila luhur serta menjauhi unsur yang boleh menghilangkan kewarasan akal.
Pendirian kerajaan untuk tidak menghidangkan arak dalam majlis rasmi bukan perkara baharu, sebaliknya dasar yang konsisten sejak lebih lima dekad. Larangan ini bermula dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 1970, diperkuat melalui WP 5.1/2013 dan ditegaskan semula pada 24 September 2024. Garis panduan ini menjadi benteng maruah negara serta cerminan jati diri pentadbiran awam.
Kebijaksanaan di sebalik larangan ini turut selari dengan prinsip-prinsip falsafah perundangan Islam. Berdasarkan fakta saintifik, arak memabukkan dan memudaratkan kesihatan, larangan menghidangkannya adalah bertepatan dengan kaedah utama dalam Usul Fiqh iaitu Sadd al-Zhara’i yang bermaksud menutup jalan-jalan yang membawa kepada kerosakan. Menghidangkan arak berpotensi membuka ruang kepada kemudaratan seperti hilang pertimbangan, gangguan ketenteraman dan pencemaran imej acara rasmi, maka larangan ini adalah satu langkah pencegahan yang amat berhikmah.
Dalam skala yang lebih luas, amalan ini selaras dengan semangat Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan kesejahteraan umum (maslahah ‘ammah). Keharmonian di Malaysia tumbuh daripada budaya saling menghormati antara penganut agama. Seperti mana masyarakat memahami untuk tidak menghidang daging khinzir kepada Muslim atau daging lembu kepada penganut Hindu, demikianlah juga arak tidak wajar dihidangkan dalam majlis rasmi negara. Sikap saling menjaga ini mencerminkan roh Maqasid Syariah sesungguhnya keamanan dan kesejahteraan tercapai apabila sensitiviti agama dipelihara dan itulah asas kepada pembinaan negara MADANI.
Sehubungan itu, IKIM menyeru agar semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mematuhi sepenuhnya arahan perbendaharaan yang telah lama berkuat kuasa ini tanpa sebarang kompromi. Sebarang percubaan untuk melanggar arahan ini bukan sahaja mencabar Perlembagaan dan Rukun Negara, tetapi juga secara terang-terangan mengingkari peraturan pentadbiran dan menjejaskan prinsip kesejahteraan umum yang menjadi benteng maruah negara.
Sekian, terima kasih.
Prof Madya Dato' Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
8 Oktober 2025 | 16 Rabi'ulakhir 1447H
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
016-219 5345
Emel: nikhasnah@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
Emel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA