BENGKEL HIBAH SEBAGAI INSTRUMEN PERANCANGAN HARTA KELUARGA ISLAM DI MALAYSIA

Released on: Monday, 29 Sep 2025 3:11PM

Table
Dr. Nik Roskiman Abdul Samad, Pengarah Pusat SYARAK IKIM (Kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Ahmad Basri Ibrahim, Ketua Pengurusan Syariah PNB pada majlis perasmian di Hotel Premiera Kuala Lumpur



KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menganjurkan “Bengkel Hibah Sebagai Instrumen Perancangan Harta Keluarga Islam di Malaysia” pada 27 September 2025 di Hotel Premiera Kuala Lumpur. Program ini merupakan salah satu usaha IKIM untuk menyebarkan kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan hibah dari aspek hukum syarak. Program ini juga turut menyampaikan pengetahuan berkaitan perbezaan antara hibah mutlak, hibah ‘umra serta ruqba dan hibah amanah. Bengkel ini juga akan memberi pendedahan dan bimbingan kepada peserta berkaitan penyediaan dokumentasi hibah.
 
Program ini bermula dengan pembentangan Sesi 1 bertajuk “Hibah: Hukum-Hakam”  disampaikan oleh Dr. Mohd. Zamro bin Muda, Timbalan Dekan Prasiswazah, Fakulti Pengajian Islam, Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sesi ini dikendalikan oleh Puan Siti Shamsiah bt. Md Supi, Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat SYARAK IKIM. Pembentang menyatakan bahawa secara tradisinya, hibah berfungsi sebagai cara utk mengagihkan harta kekayaan bertujuan untuk menyemai perasaan kasih dan sayang dalam kalangan orang Islam--terutama kaum kerabat--di samping membantu mereka yang memerlukan. Antara yang menarik dalam tajuk ini ialah perbincangan hukum samarata dalam melaksanakan hibah kepada anak-anak. Adakah boleh melebihkan pemberian kepada anak tertentu berbanding dengan anak-anak lain?
 
Pembentangan Sesi 2 bertajuk “Hibah Amanah: Amalan di Permodalan Nasional Berhad (PNB)” oleh Dr. Ahmad Basri bin Ibrahim, Ketua Pengurusan Syariah PNB. Sesi ini dikendalikan oleh Puan Natasha Khairun’nisya Alqasasy bt. Mohamed Suffe, Associate Manager, Pengurusan Syariah PNB. Pembentang telah berkongsi pengalaman PNB tentang produk hibah amanah. Hibah Amanah ini merupakan sebahagian daripada usaha PNB untuk menyediakan perkhidmatan perancangan dan
pengurusan harta yang patuh syariah kepada semua pemegang unit beragama Islam. Ia menggunakan konsep Hibah dan Amanah yang membolehkan pemindahan unit amanah kepada pihak penerima selepas kematian pemegang unit, tanpa perlu melalui proses perundangan yang rumit.
 
Sesi 3 bertajuk “Hibah Bersyarat” telah dibentangkan oleh Datin Dr. Noor Lizza bt. Mohamed Said, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sesi ini telah dikendalikan oleh En. Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi, Associate, Pengurusan Syariah PNB. Dalam sesi ini Datin Dr. Noor Lizza menerangkan bahawa terdapat dua kategori hibah iaitu hibah mutlak dan hibah bersyarat. Hibah bersyarat termasuklah hibah dengan syarat balasan atau gantian; hibah dengan syarat umra; dan hibah dengan syarat ruqba. Dalam hal ini secara asasnya, fuqaha mengharuskan penambahan syarat tertentu dalam akad bagi menjaga kepentingan pihak-pihak yang berakad, selagi syarat tersebut tidak bertentangan dengan prinsip syariah dan tidak bertentangan dengan tujuan akad hibah. Semua syarat yang bertentangan dengan syarak dan tidak bersesuaian dengan kehendak atau tuntutan akad hibah adalah terbatal.
 
Pembentangan akhir iaitu Sesi 4, bertajuk “Dokumentasi Hibah” telah disampaikan oleh Tuan Mohd. Faiz bin Adnan, Peguam Syarie, Tetuan Faiz Adnan & Associates. Sesi pembentangan ini telah dikendalikan oleh En. Muhammad Nur Akmal Adib bin Abdul Samad, Pegawai Penyelidik, Pusat SYARAK IKIM. Dokumentasi ialah material yang menyediakan maklumat rasmi atau bukti yang berfungsi sebagai rekod. Dokumentasi juga boleh dinyatakan sebagai proses dalam menyediakan dokumen sebagai pembuktian dalam sesuatu kes yang hendak dijalankan. Maka dokumentasi hibah ialah suatu proses penyediaan dokumen yang membuktikan berlakunya serahan atau pemberian sesuatu harta daripada seorang pemilik harta kepada pihak penerima. Dalam sesi ini pembentang memberi panduan dan membimbing peserta bagaimana menyediakan dokumen pelaksanaan hibah yang sah dari sudut syarak dan undang-undang.
 
Bengkel sehari ini telah mencapai matlamat, dengan kehadiran seramai 64 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan profesion. Ia juga telah membuka ruang dialog dan perbincangan dalam memperkasakan pelaksanaan hibah di Malaysia dengan lebih teratur serta efisien. Program ini juga turut dihadiri oleh peserta kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang berharap pada masa akan datang program seumpama ini dapat ditawarkan kepada mereka secara khusus.
 
27 September 2025
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah bt. Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-402 6200
Email: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA

 
Back to Home