TalentCorp Memperkasa Belia Sabah Melalui Yes! Rock The School Mega 2025, Menyokong Aspirasi STEM Dan Ekonomi Biru

Released on: Friday, 26 Sep 2025 11:14AM

Table
Dari kiri, Profesor Datuk Doktor Kasim Haji Mansor, Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah, Puan Fazliah binti Hj. Abd. Rahman, Penolong Pengarah Kanan, Pengurusan Hal Ehwal Pelajar, Sektor Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, YB Wong Shu Qi, Pengerusi TalentCorp, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah dan En. Thomas Mathew, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp.


KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Lebih separuh pelajar sekolah di Sabah memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada tahun 2024, sekali gus menetapkan satu penanda aras yang kukuh dalam menyokong seruan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan penyertaan dalam bidang-bidang kritikal ini.
 
Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang meletakkan Sabah sebagai pusat ekonomi biru yang berpotensi tinggi merangkumi sektor perikanan, akuakultur, pembinaan kapal, pelancongan pantai, dan tenaga laut boleh diperbaharui, program YES! Rock the School Edisi Mega Sabah 2025 menyediakan pelajar dengan kemahiran, pendedahan, dan laluan kerjaya yang diperlukan untuk merebut peluang dalam sektor-sektor yang sedang berkembang pesat.
 
Sebagai sebuah agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Negeri Sabah melaksanakan inisiatif ini untuk memperkasa belia Sabah dengan kesedaran kerjaya awal dan penglibatan industri.
 
Berucap semasa majlis perasmian program tersebut di Universiti Malaysia Sabah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, menekankan bahawa pendidikan, sahsiah, dan ketahanan adalah pemangkin utama dalam membuka potensi penuh generasi muda Sabah.
 
Ucapan tersebut telah disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
 
"Kami tahu bahawa industri hari ini dan masa depan amat memerlukan pekerja yang berkemahiran tinggi. Cabaran ini tidak dapat diatasi hanya oleh sekolah dan universiti sahaja. Industri mesti bekerjasama untuk menyediakan latihan, bimbingan, dan peluang pekerjaan yang sepadan dengan keperluan pasaran," katanya.
 
YB Wong Shu Qi, Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, menekankan bahawa permintaan untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peranan yang berkaitan dengan STEM adalah sangat kritikal, terutamanya dalam bidang petroleum, mekanikal, dan kejuruteraan elektrik.
 
"Itulah sebabnya program hari ini sangat penting. Ia memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka keperluan kemahiran masa depan dan menemui laluan kerjaya yang paling sesuai dengan minat dan potensi mereka. Pada masa yang sama, ia memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dan bersedia menghadapi cabaran dunia kerja yang sentiasa berkembang," katanya.
 
Program YES! Rock the School Edisi Mega Sabah 2025, yang berlangsung selama dua hari satu malam tersebut memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah menengah tentang laluan kerjaya yang muncul, wawasan industri, dan aktiviti yang berfokuskan STEM. Program ini meningkatkan kebolehpasaran sambil memupuk minat yang lebih kuat terhadap STEM dalam kalangan belia Malaysia.
 
Edisi kali ini telah mengumpulkan lebih daripada 500 pelajar dari 28 sekolah di seluruh Sabah. Ia susulan kepada kejayaan pelaksanaan program YES! Rock the School Edisi Mega Melaka 2025 yang diadakan pada bulan Ogos lalu, yang juga merupaka program edisi mega ke-enam untuk program tersebut.
 
Pada masa yang sama, TalentCorp turut menyumbang sebanyak RM20,000 sebagai dana bantuan banjir untuk menyokong pelajar sekolah di Sabah yang terkesan oleh banjir baru-baru ini. Ini mencerminkan komitmen TalentCorp bukan sahaja untuk membangunkan bakat masa depan, tetapi juga untuk memberi perhatian dan bantuan kepada komuniti yang memerlukan.
 
Untuk maklumat lanjut berhubung inisiatif ini, sila layari: www.talentcorp.com.my/rts/

Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan strategi bakat negara Malaysia. TalentCorp bekerjasama dengan pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta bagi menarik, membangun serta mengekalkan bakat yang diperlukan oleh Malaysia, kini dan pada masa hadapan. Bermula Mac 2024, TalentCorp juga berperanan sebagai badan pemikir strategik bagi KESUMA, menyokong pembangunan dasar dan penyelesaian kolaboratif bagi memenuhi keperluan tenaga kerja Malaysia yang sentiasa berkembang.
 
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp, layari
www.talentcorp.com.my ataupun ikuti @TalentCorpMsia di media sosial LinkedIn, Twitter, Facebook dan 

SUMBER: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Ahmad Anis 
E-mel: anis.kamil@talentcorp.com.my
Tel: 019-390 5987

Nama: Hajar Umira
E-mel: umira.zaki@talentcorp.com.my 
Tel: 018-947 3006

--BERNAMA
Back to Home